Berita

Terima kasih kerana iktiraf media – NPC

SERAMAI 5,867 petugas media daripada 114 agensi media berdaftar akan menerima suntikan vaksin COVID-19 seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin. Keputusan tersebut dibuat oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) selaras dengan keputusan kerajaan untuk mengutamakan petugas barisan hadapan termasuk guru dan pengamal media. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 27 Mei 2021 9:22 AM MYT

PENGUMUMAN kerajaan mengenai petugas media yang akhirnya akan menerima suntikan vaksinasi COVID-19 mereka dalam masa terdekat, merupakan satu berita yang amat baik, menurut Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC).

Timbalan Presidennya Haresh Deol yang berterima kasih kerana mengiktiraf media berkata, suntikan vaksinasi itu akan membantu melindungi petugas media yang bertugas di lapangan, dalam memastikan pembaca dan penonton mereka terus mendapat maklumat dan berita terkini.

Beliau berkata ia juga satu pengiktirafan kepada industri media, yang kerajaan secara khususnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia faham dan hargai, tugas-tugas dijalankan petugas media.

“Kami berharap lebih ramai orang termasuk warga emas dan mereka daripada industri lain akan menerima vaksinasi mereka dalam masa terdekat, bagi mencapai imuniti kelompok,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Selasa, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsan Khairy Jamaluddin berkata, sejumlah 5,867 petugas media dari 114 media berdaftar, akan menerima suntikan vaksin COVID-19 mereka dan janji temu akan diberikan secepat mungkin, sebaik butiran mereka diterima Badan bertindak Imunisasi COVID-19. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas