JUMLAH kes baharu COVID-19 di negara ini terus menunjukkan peningkatan ketara apabila 7,857 kes direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, meningkat sebanyak 379 kes berbanding 7,478 semalam.
Jumlah tersebut adalah yang tertinggi sejak pandemik itu dikesan di negara ini pada Januari tahun lepas, dan menjadikan kumulatif kes sebanyak 541,224.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran dalam laman Twitternya hari ini memaklumkan, Selangor masih menjadi negeri dengan kes harian tertinggi sebanyak 2,675 kes diikuti Sarawak (772), Kelantan (754), Kuala Lumpur (561), Johor (549), Kedah (441) dan Pulau Pinang (365).
Selain itu, Negeri Sembilan merekodkan 353 kes, Terengganu (282), Pahang (238), Melaka (234), Perak (228), Sabah (217), Labuan (170), Putrajaya (12) dan enam kes di Perlis.
Pada 14 Mei lalu, Dr Noor Hisham menerusi lampiran graf pemodelan dan ramalan COVID-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan lebih 8,000 kes sehari menjelang bulan depan sekiranya prosedur operasi standard (SOP) tidak dipatuhi. — BERNAMA