KERJASAMA* Yakult Malaysia Sdn. Bhd. dengan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) diteruskan bagi tempoh setahun lagi yang bermula Ogos 2021 sehingga Ogos 2022 bagi menyokong Skuad Harimau Pekak Malaysia melakukan persiapan Pusingan Kelayakan Bola Sepak Temasya Deaflympic yang ke-24.
Menurut Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd., Mr. Hiroshi Hamada, ini merupakan kerjasama kali kedua dimana tahun lalu kerjasama telah dijalankan dalam membantu persiapan pasukan Bola Sepak Orang Pekak Malaysia menjelang penampilan sulung mereka dalam Kejohanan Pila aDunia Orang Pekak 2020 di Mapo, Korea.
“Ini bukanlah kali pertama kita menjalinkan kerjasama dengan MSDeaf.
“Tahun lalu, Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. turut sama membantu dalam persiapan pasukan Bola Sepak Orang Pekak Malaysia yang lebih dikenali sebagai ‘Skuad Harimau Pekak Malaysia’ menjelang penampilan sulung mereka dalam Kejohanan Piala Dunia Orang Pekak 2020 di Mapo, Korea, namun ia ditunda akibat penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Ujarnya, majlis penyerahan tajaan diwakili oleh Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd., Mr. Hiroshi Hamada dan pihak MSDeaf yang diwakili oleh Presidennya, Ong Shin Ruen dengan jumlah tajaan bernilai RM40,000 itu merangkumi wang tunai RM30,000 minuman probiotik Yakult dan barangan sukan telah disampaikan di Pejabat Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia di Kuala Lumpur.
Jelasnya lagi, menerusi Perjanjian Kerjasama Rakan ASEAN diantara pihak Yakuly Malaysia bersama kelab bola sepak Liga Jepun, Cereza Osaka, 29 pasang kasut bola sepak yang diterima dari pihak PUMA Jepun turut disampaikan dan secara tidak langsung menerusi perjanjian ini, Yakult Malaysia merupakan Penaja Rasmi Minuman Probiotik kepada MSDeaf.
Dalam pada itu, Hiroshi berharap sokongan yang diberikan dapat membantu MSDeaf serta pasukan Bola Sepak Orang pekak Malaysia dalam melakukan persiapan serta suplemen probiotik Yakult dapat memastikan kesihatan atlet berada dalam keadaan terbaik.
“Kami berharap sokongan berterusan dari pihak kami dapat membantu MSDeaf dan juga pasukan Bola Sepak Orang Pekak Malaysia yang dalam persiapan menyertai Pusingan Kelayakan Bola Sepak Temasya Deaflympic yang ke 24 di Caxias do Sul, Brazil pada Mei 2022.
“Selain itu, kami juga berharap suplemen probiotik Yakult dapat memastikan kesihatan atlet berada dalam kondisi yang terbaik. Ini kerana, 70% kekebalan badan kita terletak pada usus dan sangat penting untuk memastikan usus kita sentiasa berada dalam keadaan yang optimum’, tambahnya.
Pasukan Bola Sepak Orang Pekak Malaysia yang dibimbing oleh Ketua Jurulatih, Manachai Sittisarn kini berada dalam kelompok 24 pasukan terbaik dunia malah turut menghuni ranking ke-6 Asia Pasifik dan juga ranking kedua Asean bagi bola sepak orang Pekak. *- WILAYAHKU – DIANA AMIR*