Berita

Hentikan politik isu COVID-19- Annuar

TAN Sri Annuar Musa mengingatkan sesetengah pihak agar menyantuni golongan gelandangan atau dikenali sebagai Hijrah Warrior dengan penuh hormat.
- Diterbit 24 Mei 2021 10:51 AM MYT

SEMUA pihak diminta untuk menghentikan sebarang cubaan untuk mempolitikkan isu pandemik COVID-19 yang kini telah memasuki gelombang ketiga dan menyebabkan banyak kematian dan menjangkiti lebih 500,00 orang di seluruh negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, dalam situasi genting ini, semua pihak harus berusaha bersama-sama merentasi politik kepartian agar masalah ini dapat ditangani bersama sehingga berjaya.

“Keutamaan kerajaan adalah selamatkan rakyat. Kerajaan bertindak secara kolektif tanpa mengira soal kepartian.

“Malah mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Khas COVID-19 turut melibatkan kerajaan parti pembangkang, termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) (Selangor) dan Parti Tindakan demokrasi (Penang).Soal parti langsung tidak berbangkit,” ciapnya di laman twitter pada Isnin.

Annuar berkata, sehingga kini tiada negara di dalam dunia yang mengistiharkan bahawa mereka telah berjaya sepenuhnya menangani masalah tersebut kerana gelombang COVID-19 yang sentiasa melanda negara.

“Kita tidak perlu cuba mengada-adakan apa yg tidak ada. Kerajaan tidak pernah memutuskan berjaya atau gagal pada masa ini, terutama dalam situasi penularan COVID-19 yang dinamik dan berubah-ubah.

“Jauh sama sekali kerajaan nak kaitkan berjaya atau gagalnya dengan mana-mana parti. Kerajaan kekal fokus (terhadap usaha menangani COVID-19)” katanya.

Annuar turut menzahirkan harapan agar usaha yang dirintis oleh kerajaan dan didokong rakyat ini akan dapat melandaikan jumlah jangkitan dan seterusnya mengembalikan negara seperti sedia kala.

“Berkat muafakat semua pihak dalam kerajan dan luar kerajaan termasuk rakyat jelata keseluruhannya, kita Insha Allah akan berjaya.

“Tiada short cut, tiada pendekatan simplistik melainkan kita wajib berusaha sedaya upaya kita.

“Usahlah berpolitik berlebihan dalam soal COVID-19 ini. Berpada-pada,” katanya

Beliau turut menasihatkan segelintir pihak untuk berhenti dari mempolitikkan isu yang berkaitan dengan COVID-19 kerana kesan langsung yang dapat dilihat.

“Justeru,nasihat saya,berhentilah dari percubaan mempolitikkan soal COVID-19. Lebih baik kita berusaha mempertingkatkan kerjasama rentas kepartian agar urusan COVID-19 ini dapat di tangani bersama dengan jayanya.

“Tiada negara isytihar mereka berjaya,kerana gelombang demi gelombang datang,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas