Berita

Produktiviti penjawat awam akan kekal pada tahap terbaik – Cuepacs

KIRA-KIRA 750,000 penjawat awam dan 40 peratus petugas swasta akan melaksanakan BDR mulai esok (25 Mei). Kredit foto oleh: Berita Harian KIRA-KIRA 750,000 penjawat awam dan 40 peratus petugas swasta akan melaksanakan BDR mulai esok (25 Mei). Kredit foto oleh: Berita Harian
- Diterbit 24 Mei 2021 8:45 AM MYT

PRODUKTIVITI kerja penjawat awam akan terus berada pada tahap yang terbaik walaupun 80 peratus petugas mula bekerja dari rumah (BDR) mulai esok, kata Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Awam (Cuepacs).

Presidennya Adnan Mat berkata sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan akan terus berjalan seperti biasa bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat diberikan mengikut ketetapan setiap agensi kerajaan.

Tegasnya setiap jabatan kerajaan tidak pernah berhenti berfungsi atau lumpuh dalam menjalankan perkhidmatan masing-masing, justeru itu rakyat tidak perlu bimbang dan urusan mereka tidak akan tergendala berikutan pelaksanaan BDR.

“Setelah lebih setahun negara melaksanakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), Cuepacs yakin penjawat awam tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing melalui amalan BDR yang telah ditambahbaik dari semasa ke semasa.

“Cuepacs juga berharap masyarakat tidak meletakkan persepsi buruk kepada penjawat awam kerana pelaksanaan BDR adalah berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 – Dasar Bekerja Dari Rumah yang secara jelas memperincikan aspek-aspek perlu dipatuhi setiap penjawat awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adnan seterusnya mengingatkan semua penjawat awam agar mematuhi arahan PKP dan peraturan semasa berkaitan BDR yang ditetapkan.

Tegasnya penjawat awam tidak boleh berkompromi mengenai produktiviti masing-masing semasa BDR dan sebarang pelanggaran salah laku dalam pematuhan kepada BDR akan dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan semasa perkhidmatan awam.

Sabtu lepas kerajaan menetapkan 80 peratus atau kira-kira 750,000 penjawat awam dan 40 peratus petugas swasta akan melaksanakan BDR mulai esok (25 Mei), sebagai sekatan tambahan bagi PKP 3.0 berikutan peningkatan mendadak COVID-19. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas