SEBANYAK 80 peratus daripada 1,306 petugas sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) telah menerima vaksin sebagai langkah persediaan untuk membantu petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata setakat ini seramai 13,495 belia telah berdaftar untuk menjadi sukarelawan MyVac, dengan 1,306 daripada mereka sudah mula bertugas.
Beliau berkata penubuhan MyVac melibatkan kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Majlis Belia Malaysia melalui Persekutuan Pengakap Malaysia dengan membantu tugas-tugas di PPV Bukan Kesihatan seperti di dewan orang ramai.
Bercakap kepada media selepas melakukan lawatan di dua buah PPV dekat sini hari ini, beliau berkata setakat ini para sukarelawan MyVac telah bertugas di 11 PPV Bukan Kesihatan sejak 26 April lepas.
“Terdapat penambahan satu lagi PPV baharu yang akan mula beroperasi pada 24 Mei ini bertempat di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam dengan kapasiti penerima vaksin seramai 3,000 orang sehari dan melibatkan sukarelawan MyVac seramai 60 orang,” katanya.
Menurut beliau kesemua sukarelawan itu akan digerakkan untuk membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi fasa ketiga nanti. – BERNAMA