Berita

DBKL bakal wujudkan laluan khas sepanjang Sungai Bunus

- Diterbit 10 Mei 2021 9:11 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal mewujudkan laluan basikal dan pejalan kaki sejauh lima kilometer di sepanjang Sungai Bunus bermula dari Seksyen Satu Wangsa Maju hingga ke Wisma Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata penyediaan laluan khas menerusi projek yang dilaksanakan secara dua peringkat itu adalah antara inisiatif yang dilakukan oleh agensi  berkenaan  untuk mempersiapkan Kuala Lumpur sebagai bandar raya rendah karbon.

“Untuk fasa satu fasiliti laluan di Sungai Bunus itu yang sudah ada sejak 2016 kini sedang dalam proses naik taraf termasuk pembersihan kawasan daripada semak samun, menggantikan pagar yang rosak dan pemasangan lampu solar bagi memberikan keselesaan dan keselamatan kepada pengguna.

Pada masa yang sama kerja pembersihan dan pengindahan kawasan yang melibatkan laluan berhampiran Kolej Vokasional Setapak hingga ke PPR (Projek Perumahan Rakyat) Wangsa Sari juga sedang giat dilaksanakan dan ia dijangka selesai pada Jun ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Projek fasa dua pula, katanya akan melibatkan pembersihan laluan Sungai Bunus di Sri Rampai hingga ke Wisma Bernama yang dijangka akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

Menurutnya apabila siap kelak, kemudahan itu akan menjadi kawasan rekreasi bagi penggemar aktiviti berbasikal dan ia menghubungkan semua kawasan perumahan, industri, bangunan komersial dan pejabat korporat serta pendidikan di semua seksyen Wangsa Maju dan sekitarnya.

Mahadi berkata pihaknya juga sedang meneliti untuk menyambung laluan berkenaan yang berakhir di Wisma Bernama terus ke Taman Tasik Titiwangsa dan Kampung Baru bagi membolehkan ia dihubungkan ke laluan basikal sedia ada di daerah pusat perniagaan (CBD) sejauh 11.84 km. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas