Berita

Industri Mineral sasar sumbang 29 bilion

- Diterbit 23 April 2021 4:15 AM MYT

KERAJAAN menyasarkan sumbangan industri mineral kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada RM29 bilion menjelang 2030 selain memastikan industri tersebut dibangunkan secara lestari,  kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Muhyiddin mahu semua pihak berkepentingan termasuk masyarakat bekerjasama menggarap idea terbaik dalam membangunkan industri mineral.

“Selain itu, agensi berkaitan harus meneliti aspek galakan sama ada dalam bentuk insentif kewangan atau bukan kewangan bagi menyokong perkembangan industri mineral yang bertanggungjawab dan mampan,” katanya ketika melancarkan Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030, di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, sumbangan sektor mineral kepada KDNK pada 2019 ialah sebanyak RM9.9 bilion.

“Kerajaan juga mengharapkan kolaborasi strategik pelbagai pihak bagi bersama-sama mentransformasikan industri ini supaya membawa manfaat kepada kesejahteraan rakyat,” katanya. -BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas