Berita

Banjir buruk turut beri kesan operasi syarikat penghantaran

- Diterbit 8 Januari 2021 8:04 AM MYT

KEADAAN banjir yang semakin buruk di beberapa negeri ketika ini dilihat turut memberi kesan kepada perkhidmatan penghantaran surat dan bungkusan di kawasan yang dilanda bencana alam itu.

Pelbagai usaha dan langkah diambil syarikat terlibat bagi memastikan operasi penghantaran tidak terjejas dan pengguna mendapat barangan mereka dalam tempoh bersesuaian.

Keselamatan pekerja menjadi keutamaan di saat mereka perlu berdepan risiko meredah banjir, tanah runtuh dan penutupan jalan semasa proses penghantaran dilakukan.

Bagi Ninja Van Malaysia, bencana banjir ditambah pula dengan jumlah bungkusan yang tinggi menyebabkan proses penghantaran di Kelantan, Terengganu, Pahang dan sebahagian Johor iaitu Kota Tinggi dan Mersing mengalami kelewatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van Malaysia Adzim Halim berkata sebilangan besar daerah yang terjejas dijangka mengalami kelewatan penghantaran dua hingga tiga hari, manakala kawasan seperti Kuala Lipis dan Maran, Pahang, sehingga lima hari.

“Kami mengubah perjalanan darat menggunakan laluan alternatif seperti Pahang dari Lembah Klang ke Kuantan melalui Muadzam Shah kerana Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ditutup sejak tengah malam Isnin.

“Kami juga telah memindahkan penghantaran ke destinasi akhir secepat mungkin bagi jalan-jalan yang dapat diakses dan kami berusaha sedaya upaya melakukan penghantaran ke semua wilayah yang dibenarkan,” katanya kepada Bernama.

Bagi kawasan yang terjejas teruk, Adzim berkata pihaknya berusaha melakukan penghantaran dengan mendapatkan peralatan dan kenderaan yang bersesuaian.

Mengenai keselamatan pekerja Ninja Van, beliau berkata pihaknya sentiasa mengawasi keadaan banjir dengan teliti dan hanya akan membenarkan kakitangan datang bekerja apabila keadaan diyakini selamat.

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia & Brunei Julian Neo pula berkata keselamatan dan kesejahteraan pekerja menjadi keutamaan, justeru semua langkah berjaga-jaga diambil bagi mengurangkan sebarang kesan terhadap operasi perkhidmatan mereka.

“Dengan operasi global di lebih 220 negara dan wilayah, DHL Express mempunyai rancangan terperinci dalam memastikan kesinambungan perniagaan secara menyeluruh termasuk dalam menangani situasi bencana alam.

“Kami memantau setiap perkembangan di kawasan yang terjejas dan akan segera berkongsi maklumat terkini dengan kakitangan dan pelanggan kami,” katanya.

Sementara itu, J&T Express Malaysia di laman Facebook turut memaklumkan kelewatan penghantaran dan penutupan beberapa ‘drop point’ di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor akibat hujan lebat serta banjir yang melanda.

Penutupan di Kelantan melibatkan Drop Point Rantau Panjang dan Premium Courier Point (PCP) Pantai Cahaya Bulan, Kota Bahru, sementara di Terengganu melibatkan PCP Jalan Air Putih manakala di Pahang melibatkan Drop Point Gambang, Drop Point Maran, dan Centralise Delivery Centre (CDC) Maran.

Bagi penutupan operasi di Johor, ia melibatkan Drop Point Mersing, Drop Point Kota Tinggi 01, Drop Point Kota Tinggi 02, CDC Tiong Emas, CDC Mersing dan CDC Kota Tinggi. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas