Utama

Mengapa tentang penyatuan Melayu…?

- Diterbit 7 Januari 2021 6:09 AM MYT

KETUA Pemuda UMNO Ketereh Syed Saipuddin Mohamad mahu semua ahli UMNO berubah dan jangan lagi ikut cara politik lama.

Beliau mengulas isu 189 bahagian UMNO yang menolak kerjasama bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kerjasama ini adalah satu-satunya platform untuk satukan orang Melayu Islam di Malaysia, mengapa menentang?” katanya ketika dihubungi hari ini.

Syed Saipuddin berpendapat sepatutnya UMNO memainkan peranan untuk harmonikan lagi hubungan ini dan bukan mencari titik memisahkan.

“Peluang ni bukan senang, kalau kita nak terima PAS tapi tak mahu terima Bersatu, macam mana tu,” katanya yang menjelaskan PAS sudah menyatakan mereka untuk terus bersama dengan Bersatu.

Memberi contoh ibarat PAS sebagai seorang suami, UMNO isteri pertama dan Bersatu isteri muda, jika UMNO enggan menerima Bersatu ia seperti UMNO ingkar kemahuan suami.

“Dulu semasa Muafakat Nasional tak mahu daftar, siapa yang salah? Kita kena sedar perubahan dalam politik,” katanya yang mahu ahli UMNO berfikir secara rasional.

Syed Saifuddin berkata bukan hanya satu dua sahaja suara yang sebut menyokong kerjasama dengan Bersatu, di bahagian akar umbi rata-rata pemuda bersetuju.

“Yang sebut tidak bersetuju hanya yang dalam jawatan sahaja, akar umbi semua mesti setuju,” cabarnya.

Syed Saifuddin yakin orang muda tolak kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

” Kita tidak ada pilihan lain kecuali bekerjasama dengan Bersatu.

“Apa yang Tan Sri (Annuar Musa) buat itu jalan terbaik, bukan dia seorang ramai yang menyokong beliau,” katanya.

Tidak masuk akal apabila Umno sendiri yang dahulunya memilih untuk kerjasama dengan Bersatu dan kini UMNO sendiri mahu meruntuhkannya.

UMNO harus ambil kira semua aspek termasuk ekonomi, pendidikan, dan masalah negara untuk membuat sebarang keputusan.

“Kalau benar nak ukur suara akar umbi, bagi akar umbi buat pilihan, baru layak kata suara akar umbi.” tegasnya. – OLEH NOR SURAYA ALI – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas