CO-OPBANK Pertama (CBP) memperuntukan dana sebanyak RM240,000 bagi Program Back To School 2020 yang bakal memanfaatkan sejumlah 1,200 orang pelajar di beberapa buah negeri seluruh Malaysia.
Pengerusinya Kamari Zaman Juhari berkata bagi tahun ini program itu melibatkan sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Melaka dan Terengganu.
“Program Back To School ini adalah program tahunan CBP yang bertujuan menyediakan keperluan pendidikan para pelajar daripada golongan B40 bagi sesi persekolahan 2021, di samping meringankan beban kewangan ibu bapa.
“Bermula pada 2018 dengan penerima manfaat seramai 500 pelajar, kemudiannya pada 2019 dengan seramai 800 pelajar dan bagi tahun ini, jumlah penerima meningkat kepada 1,200 orang,” katanya semasa berucap pada majlis itu di sini hari ini.
Bagi program berkenaan, beliau berkata setiap pelajar akan menerima baucar bernilai RM200 setiap seorang yang boleh ditebus di sebuah pasar raya, yang mempunyai cawangan di setiap negeri yang terlibat, untuk membolehkan mereka membuat pilihan dan membeli kelengkapan persekolahan.
Menurut Kamari adalah menjadi harapan CBP untuk melihat tiada mana-mana kelompok masyarakat tercicir dalam arus pendidikan negara.
“CBP sentiasa prihatin dan mengambil berat nasib yang dialami oleh golongan yang kurang berkemampuan dalam memenuhi hasrat untuk membina masa depan.
“Kami sedar bahawa terdapat sebilangan keluarga yang kurang berkemampuan untuk menyediakan keperluan untuk anak-anak bagi menghadiri sesi persekolahan,” katanya.
Beliau berkata pada tahun ini CBP telah menyumbang lebih RM150,000 kepada sekolah-sekolah seluruh negara yang kebanyakan dibuat sebelum perintah kawalan pergerakan dilaksanakan. – BERNAMA