Berita

24 migran Indonesia ditahan cuba masuk Malaysia

- Diterbit 21 Disember 2020 6:10 AM MYT

SERAMAI 24 migran warga Indonesia ditahan selepas dipercayai cuba masuk ke negara ini secara haram di Pantai Sungai Musoh, Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor, awal pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia dalam kenyataan memaklumkan kesemua mereka yang terdiri daripada 17 lelaki dan tujuh wanita berumur 17 hingga 55 tahun itu ditahan dalam Op Benteng yang dijalankan antara pukul 12.25 tengah malam dan 7.05 pagi tadi.

“Anggota petugas pos pemerhati mengesan pergerakan bot yang merapati pesisir pantai pada 11 malam Ahad sebelum menghubungi petugas daripada Tentera Laut Diraja Malaysia, Tim Drone daripada Bahagian Staf Perisikan Pertahanan dan Tim Quick Reaction Force (QRF) bagi memantau dan mengepung seluruh kawasan tersebut.

“Serbuan dilakukan pada 12.25 tengah malam telah menahan 23 migran warga Indonesia manakala seorang lagi wanita ditahan berdekatan lokasi tersebut pada 7.05 pagi tadi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pihaknya turut merampas sejumlah wang tunai pelbagai mata wang dianggarkan bernilai RM21,142.69 serta pelbagai jenis telefon pintar, barangan kemas dan jam tangan pelbagai jenama.

“Mereka yang ditahan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia. Laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai, Kota Tinggi.

“Kami akan meneruskan atur gerak pasukan QRF bagi menjejak kemungkinan saki-baki pendatang tanpa izin di sekitar kawasan terbabit,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas