MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa menerima penghargaan daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Malaysia dan Aliansi Organisasi Masyarakat Indonesia (AOMI), ekoran bantuan yang diberikan kepada warga tersebut sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Penyerahan penghargaan disampaikan Duta KBRI, Hermono semasa Mesyuarat AOMI di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kepada Annuar yang diwakili Setiausaha Politiknya, Datuk Budiman Mohd Zohdi.
Turut sama menerima penghargaan adalah Pengarah Eksekutif PWTC, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang sama-sama bergerak menyalurkan bantuan COVID-19.
Terdahulu, Hermono berkata, penghargaan yang diberikan adalah salah satu bentuk terima kasih kepada pemimpin dan rakyat Malaysia yang banyak membantu rakyat Indonesia ketika mengalami kesulitan dalam tempoh PKP.
“Pandemik COVID-19 memberi banyak hikmah dan salah satunya adalah kita semua dapat bersatu untuk melakukan sumbangan serta saling tolong-menolong tanpa mengira beza agama, kaum dan negara,” jelasnya. – WILAYAHKU