KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM85.6 juta kepada 565 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) walaupun tidak beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata peruntukan yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu telah memanfaatkan sebanyak 19,304 pelatih dan 3,372 penyelia PDK di seluruh negara.
“Kerajaan sedar akan keperluan bantuan kewangan bagi PDK untuk menampung kos operasi seperti sewa premis, pembayaran bil utiliti dan pembayaran sagu hati kepada petugas dan pelatih,” katanya pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Ras Adiba Mohd Radzi mengenai usaha KPWKM dalam menyokong badan bukan kerajaan (NGO) atau pusat perkhidmatan sokongan dan intervensi awal kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
PDK adalah strategi kerajaan dalam pembangunan komuniti setempat bagi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial OKU.
Dalam pada itu, Siti Zailah berkata sebagai menghargai komitmen warga PDK, kerajaan dalam Belanjawan 2021 bersetuju menaikkan kadar sagu hati petugas PDK daripada RM800 kepada RM1,200 manakala penyelia PDK pula dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500.
“Kenaikan ini memanfaatkan 3,372 petugas dan penyelia PDK sekali gus memantapkan PDK,” katanya.
Siti Zailah juga memaklumkan bahawa menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang bertujuan menangani impak COVID-19, bantuan makanan dan penjagaan kesihatan telah diserahkan kepada 65 Pusat Sehenti Keusahawanan (PSK) OKU melibatkan peruntukan RM1.94 juta.
Katanya, keprihatinan kerajaan terhadap golongan itu yang turut terkesan akibat pandemik COVID-19 telah memanfaatkan 3,758 penghuni PSK OKU.
Sementara itu, mengenai soalan tambahan Ras Adiba tentang peruntukan serta perancangan kerajaan bagi memastikan kelangsungan pusat intervensi awal semasa dan selepas tempoh PKP, beliau berkata KPWKM tidak terlepas pandang aspek kebajikan golongan OKU setiap kali belanjawan dibentangkan.
Sebagai contoh, beliau berkata menerusi Belanjawan 2021, sebanyak RM84.4 juta diperuntukkan bagi menjayakan program pemulihan PDK. – BERNAMA