PENAMBAHBAIKAN program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) dilaksanakan bagi menjamin mutu perkhidmatan selain memberikan hak kepada pesawah untuk memilih jenis benih padi yang terbaik untuk ditanam di sawah mereka.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata perkara berkenaan dilakukan hasil pertemuan pihaknya dengan pemegang taruh berkaitan sekali gus membantu kementerian untuk merangka hala tuju dan penambahbaikan program itu.
Beliau berkata sebagai permulaan pihaknya melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai pemborong tunggal dalam program IBPS.
“Pelantikan NAFAS membolehkan penetapan harga siling benih padi sah dilaksanakan tanpa melibatkan tambahan peruntukan insentif kepada kerajaan. Selain itu, lesen dan permit hanya akan diberi kepada ejen, individu atau syarikat berdaftar sahaja.
“Penetapan beberapa varieti benih padi sah yang akan dihasilkan oleh syarikat pengeluar benih padi sah untuk dipilih pesawah serta stok penimbal benih padi sah akan disediakan bagi menangani isu kekurangan bekalan benih padi sah di luar jangka,” katanya pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Jefridin Atan mengenai inisiatif kerajaan bagi meningkatkan pengeluaran makanan asas khususnya beras yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Kiandee berkata inisiatif pihak kementerian yang akan dilaksanakan tahun depan itu juga dijangka dapat mengelakkan manipulasi benih padi sah dan harga di lapangan menerusi pembelian tanpa kawalan oleh pelbagai pihak di pintu kilang.
“Ia penting bagi mengelak dominasi syarikat pembekal tertentu terhadap pasaran benih padi sah secara khususnya, dan sektor padi dan beras secara umumnya,” katanya. – BERNAMA