CABARAN dan dugaan adalah asam garam dalam kehidupan. Sudah menjadi adat sebagai manusia pasti tidak terlepas daripada cubaan hidup.
Seberat mana pun kita diuji, ketahuilah Allah sentiasa mengurniakan kemudahan dalam setiap kesulitan yang dialami selagi mana hambaNya itu kekal bersabar.
Itulah pegangan yang sentiasa tersemat di hati seorang ibu, Nur Natasya Rasid, 24, yang tabah menjaga anaknya Nur Mardhiah Shahadah Abdul Hadi yang menderita pelbagai penyakit kronik termasuk kanser mata, penyakit genetik iaitu Chromosome 13q Deletion Syndrome, buah pinggang dan paru-paru.

Anak kecilnya yang berusia tiga tahun terpaksa menjalani pembedahan suntikan steroid dan membuang lebihan daging pada mata kiri di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak usia tiga bulan hinggalah sekarang.
“Setiap waktu saya mengadu kepada Allah agar permudahkan segala urusan Mardhiah. Saya yakin, dalam setiap kesukaran pasti Dia hadirkan kemudahan.
“Apapun saya bersyukur kerjasama dan layanan bagus yang diberikan oleh HKL dari tahun 2018 sehinggalah sekarang. HKL memang terbaik,” katanya ketika dihubungi WILAYAHKU.
Cerita Nur Natasya, dari mula Mardhiah sakit, sehinggalah ke hari ini hubungan dengan semua doktor dan jururawat yang merawat Mardhiah sangat rapat.
“Alhamdulillah. Selain itu, segala kemudahan yang disediakan oleh pihak hospital sangat selesa dan sentiasa ditambah baik dari masa ke semasa,” katanya yang sering berulang-alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur setiap kali sesi pembedahan berjalan.
Dalam masa yang sama, ibu muda ini menitipkan ucapan terima kasih kepada pihak media, penyumbang dan masyarakat di luar sana yang sentiasa mendoakan kesihatan anaknya.
“Saya mendoakan kesejahteraan anda dan jasa kalian hanya Allah yang mampu membalasnya,” ujarnya sayu.
Naik motosikal 200 kilometer
Baru-baru ini tular di media sosial apabila Natasya dan suaminya Muhammad Iqmal Ramli, 24, sanggup menaiki motosikal sejauh kira-kira 200 kilometer (km) dari Ipoh ke Kuala Lumpur demi rawatan kanser mata puteri kesayangan.
Malah, tindakan itu terpaksa dilakukan kerana mereka tidak memiliki kenderaan lain di samping tidak mampu menyewa kereta.

Biarpun bercadang mahu menaiki bas namun terhalang kerana masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Kami tiada pilihan lain. Jadi kami ambil keputusan untuk naik motosikal dan merancang mahu berhenti beberapa kali kerana risaukan Mardhiah,” ujarnya yang menaiki motosikal dari kediaman mereka di D’ Aman Residensi, Bandar Meru Raya, Ipoh pada 11 November lalu.
Sebelum ini, kedua-duanya tiada masalah untuk menaiki motosikal ke HKL kerana suami Mardhiah bekerja di Kuala Lumpur dan kediaman mereka berhampiran HKL.
Namun, sejak kehilangan pekerjaan sejak pandemik COVID-19 melanda, mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke Ipoh lima bulan lalu sementelah suaminya mendapat pekerjaan sebagai pekerja kontrak di sana.

Dalam masa yang sama, Natasya sempat berkongsi kisah perjalanan mereka sekeluarga ke HKL di Facebook yang mana ia dipermudahkan apabila ramai yang menghulurkan bantuan.
“Disebabkan hujan, ada pengguna jalan raya menumpangkan kami sehingga sampai ke hospital. Apabila tiba di Kuala Lumpur pula, terdapat individu yang menawarkan diri membayar penginapan hotel sepanjang berada di sana,” ujarnya yang turut ditumpangkan pulang ke Ipoh oleh individu yang sama.
Seperti bulan jatuh ke riba, kisah getir hidupnya turut mendapat perhatian Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Atas keprihatinan, Ahmad Faizal bersetuju menanggung bayaran sewa rumah mereka selama enam bulan dan turut menyediakan kemudahan pengangkutan bagi merawat Mardhiah di HKL.
“Terima Kasih kepada beliau dan isteri yang bermurah hati membantu kami sekeluarga. Bantuan yang diberikan banyak meringankan beban kami” ujar Natasya yang turut dikunjungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ipoh baru-baru ini.
Bagi yang ingin meringankan beban keluarga Mardhiah bolehlah menyalurkan sumbangan melalui nombor akaun 1400341000028756 (Bank Simpanan Nasional) atas nama Nur Natasya Binti Rasid. Facebook: Nur Natasya – WILAYAHKU