DALAM hidup ini, kita tidak terlepas daripada dilanda masalah. Ujian yang datang terpaksa kita hadapi sama ada suka atau tidak. Itu bukan pilihan.
Begitulah juga dengan bilangan penjaja atau peniaga kecil yang dijangka semakin meningkat jumlahnya susulan pandemik Covid-19.
Bekas pengurus artis, Mohd Azmie Kassim,54, atau lebih mesra dipanggil Amie menjadi inspirasi ramai apabila tidak pernah rasa segan atau malu berniaga di tepi jalan.
Amie yang menjual air detoks dan jagung milk shake, terpaksa melupakan kerjayanya sebelum ini memandangkan banyak acara dibatalkan gara-gara COVID-19.
“Saya mula berniaga air apabila masuk fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Ini satu pengalaman baru setelah berpuluh-puluh tahun dalam dunia glamor.
“Mungkin ada yang nampak janggal saya berniaga di tepi jalan tapi tidak salah mencari rezeki halal walaupun terpaksa berpanas dan berhujan.
“Alhamdulillah, ramai juga yang sukakan air minuman yang saya jual. Walaupun untungnya tidak seberapa, sekurang-kurangnya saya tidak menyerah kalah dengan situasi sekarang,” katanya kepada WILAYAHKU.

Amie berharap pengalaman ini membolehkannya membuka kedai sendiri suatu hari nanti.
“Sebenarnya seronok berniaga tepi jalan. Kita akan bertemu dengan ramai orang dan berhadapan dengan pelbagai karenah.
“Di sinilah saya belajar banyak erti kehidupan. Saya dikira bernasib baik masih diberikan rezeki berbanding sesetengah orang yang nak makan pun belum tentu dapat.
“Dalam hidup ini kena positif dan tidak lupa berdoa. pedulikan apa orang kata. Mereka tidak berada di tempat Kita,” jelasnya lagi.
Sesiapa yang nak beli air detoks dan jagung milk shake, boleh ke gerai Nur Delight berhadapan Bank Simpanan Nasional, Bandar Permaisuri, Kuala Lumpur atau hubungi di talian 012-2578884
Anda boleh juga melihat perkembangan Amie di Facebook: Air Tangan Tokmie atau instagram: @airtangantokmie – WILAYAHKU