KES buli siber semakin berleluasa. Baik bintang antarabangsa mahu pun tempatan, mereka tidak dapat lari daripada kata-kata nista warganet.
Apa yang membimbangkan, buli siber ini boleh membawa kepada stres dan menyebabkan maut apabila hilang pertimbangan diri.
Namun, selebriti antarabangsa Selena Gomez dan artis popular tempatan Bella Astillah mempunyai cara tersendiri untuk berdepan dengan buli siber.
“Fikir positif” – Bella Astillah
Penyanyi Bella Astillah turut dikecam apabila terlalu bersabar dengan suaminya, Aliff Aziz yang menjalani hukuman penjara baru-baru ini.

“Saya akui sering dikecam. Ada sahaja tidak kena di mata mereka (warganet).
“Dalam dunia ini, kita tak boleh puaskan hati semua orang, begitu juga dengan saya.
“Saya buat apa pun, orang tetap nak kecam. Mujurlah ada keluarga yang membuatkan saya sentiasa fikir positif.
“Buat apa nak fikir negatif. Ia hanya boleh merosakkan diri dan mengganggu fokus saya terhadap perkara yang lagi penting untuk difikirkan,” jelas Bella yang berharap masyarakat elakkan diri daripada menjadi mangsa buli siber.
Bentuk Tubuh Dihina, Selena Gomez Tertekan
Penyanyi Selena Gomez antara artis antarabangsa yang pernah mengalami stres yang melampau akibat buli siber. Apatah lagi pengikutnya di laman sosial instagram mencecah 200 juta.
Selena sering menerima kecaman, tohmahan dan pelbagai kata-kata negatif semenjak wujudnya media sosial.
Antara serangan terbesar pernah diterimanya adalah sewaktu berat badannya naik tidak lama dulu. Bermula daripada senda gurau, akhirnya wargamaya bertindak melampau menghina bentuk badannya.

Walaupun penyanyi lagu Love You Like A Love Song ini mengabaikan komen-komen berkenaan, namun tahap kecaman yang melampau membuatkan dirinya tertekan dan emosi terganggu.
Namun begitu, Selena berjaya mengatasi masalah tersebut dengan terus menyalurkan emosi positif menerusi muziknya. – WILAYAHKU