PEMERGIAN seniman Datuk Zulkifli Zain turut dirasai oleh rakan-rakan artis lama dan baharu.
Pelakon Eman Manan tidak dapat melupakan pengalaman berharga dengan Allahyarham menerusi filem pertamanya.
“Arwah yang saya kenal seorang yang tak lokek ilmu. Banyak yang saya belajar daripadanya.
“Antara kenangan bersama arwah adalah pengalaman berlakon sebagai adik beradik dengan arwah dalam filem pertama saya Matinya Seorang Patriot (arahan Datuk Rahim Razali),” katanya ketika hadir memberi penghormatan terakhir kepada arwah.

Pelakon yang pernah berkahwin dengan aktres Fauziah Datuk Ahmad Daud ini juga pernah mengikuti ilmu silat dengan guru yang sama dengan arwah.
Sewaktu arwah disahkan lumpuh, Eman turut menziarahi arwah di rumahnya di Ukay Perdana, Ampang.
Allahyarham Zulkifli Zain selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang, sebelum Zuhur tadi.
Selain Eman Manan, antara artis lain yang turut memberikan penghormatan terakhir alah Datuk Yusof Haslam, Datuk Rosyam Nor, Datuk M. Nasir, Hail Amir, Wan Maimunah, Sabri Yunus dan ramai lagi.
Datuk Zulkifli Zain, 74, disahkan meninggal dunia akibat komplikasi banyak penyakit sekitar pukul 7.30 malam sebentar tadi, di kediamannya di Ukay Perdana, Ampang.
Zulkifli yang berkahwin dengan pelakon Normala Omar pada tahun 1975 dikurniakan lima cahaya mata iaitu Norzizi,44, Norzaza,38, Norzazila,36, Norzazleen,33, dan Mohd Noor Zabaiq,29.
Antara filem lain lakonan Allahyarham adalah Jiwa Remaja, Potret Maria, Sesejuk Air Mata Ibu, Selamat Pagi Cinta, Pecah, Cicakman dan banyak lagi. – WILAYAHKU