SABAN tahun Majlis Sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong diraikan dengan penuh istiadat seperti paluan gendang, perbarisan tentera, Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat kepada rakyat yang menabur bakti serta budi kepada negara.
Berlainan dengan sambutan pada tahun ini, ia bersesuaian dengan norma baharu saat negara masih lagi terkesan dengan penularan wabak Covid-19, maka sambutan itu diganti dengan majlis bersama rakyat yang julung kali diadakan.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi anakanda baginda, Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah berkenan bercemar duli berkunjung ke Pusat Gelandangan Sementara di Kompleks Sukan Desa Tasik, Bandar Tun Razak bagi meraikan gelandangan yang diselamatkan baru-baru ini.
Ketibaan baginda disambut oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Santhara dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Seri Syed Hussein AlHabshi.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Sulit Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Norhisham Ahmad Dahlan dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail.
Baginda kemudian berkenan menerima sembah taklimat daripada Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan (JKKKNWP) mengenai keadaan semasa dan juga operasi menyelamat gelandangan-gelandangan ini.
Turut disentuh adalah berkenaan dengan operasi Pusat Pengurusan Krisis (CMC) dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga Wilayah Persekutuan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.
Baginda kemudian berkenan mengurniakan sumbangan ampun kurnia kepada 44 gelandangan yang menghuni di pusat itu.
Selain itu, baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan daripada Pusat Pungutan Zakat- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Annuar dalam ucapan, berkata, JKKKNWP di bawah pimpinannya telah membantu gelandangan yang diselamatkan ekoran kerajaan telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada 18 Mac lalu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
“Sejujurnya Tuanku, patik menjangkakan hanya ada 200 hingga 300 orang yang disebut sebagai gelandangan. Tetapi apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan bantuan agensi penguatkuasa yang terlibat dalam menjalankan arahan tersebut, jumlahnya meningkat kepada hampir 1,000 orang.
“Oleh yang demikian, rumah penginapan sementara tidak mencukupi lalu keputusan dibuat untuk menggunakan dewan awam dan dewan komuniti di bawah seliaan DBKL sebanyak tujuh buah unuk menempatkan semua gelandangan yang telah diselamatkan,” katanya.
Annuar berkata, pihaknya terutama pegawai dan jabatan yang terlibat dapat mengenali dan memahami gelandangan ini secara lebih dekat.
“Masalah mereka bukan sahaja setakat masalah makanan kerana secara lazimnya ia dihantar oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi perlu dibahagikan kepada pelbagai kumpulan iaitu kurang upaya, golongan istimewa, ada yang uzur tua.
“Malah ada yang ketika diselamatkan masih produktif tetapi secara tidak sengaja dianggap sebagai gelandangan,” katanya.

Annuar memberitahu, pihaknya telah bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta DBKL untuk membuat beberapa langkah bagi memastikan gelandangan yang masih produktif memulakan kehidupan baharu.
“Kami menggalakkan para gelandangan ini untuk bekerja dan seterusnya keluar dari alam kegelandangan hatta setelah PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan dan berharap mereka tidak kembali.
“Untuk itu, sejumlah 200 gelandangan telahpun dihantar bekerja di Perak dan Selangor manakala baki dalam 300 orang akan melalui proses tertentu dan diberikan kursus motivasi selama satu bulan sebelum ditempatkan di asrama yang kini sedang dibina oleh DBKL dan seterusnya diberikan pekerjaan.
“Selain itu, untuk gelandangan yang terkait dengan dadah akan dibuat program pemulihan dan mereka akan dihantar ke Kuantan, Pahang untuk tempoh tiga bulan,” katanya.