PUTRAJAYA – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM37.6 juta daripada enam buah syarikat korporat pada Majlis Zakat Korporat 2020 di Kompleks Islam Putrajaya di sini.
Syarikat berkenaan adalah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (RM16,000,000); Lembaga Tabung Haji (RM7,994,661.23); Bank Islam Malaysia Bhd. (RM5,665,101); Amanah Harta Bumiputera Bhd. (RM3,429,447.44) ; UDA Holdings Bhd. (RM3,700,000) dan Bank Pembangunan Malaysia Bhd. (RM834,000).
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, PPZ-MAIWP mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat korporat yang membayar zakat di PPZ-MAIWP atas keprihatinan dalam memahami asnaf dalam situasi sekarang.
“Saya juga ingin menyeru kepada semua umat Islam untuk segera menunaikan zakat lebih-lebih pada 10 terakhir Ramadan bagi meraih pahala berganda di samping dapat membantu lebih ramai asnaf yang memerlukan dalam keadaan yang sukar kini,” katanya.
Penganjuran Majlis Zakat Korporat 2020 ini bertujuan sebagai galakkan kepada syarikat korporat lain untuk membayar zakat perniagaan mereka agar lebih ramai golongan asnaf di Wilayah Persekutuan dapat dibantu.
Setakat April 2020, PPZ-MAIWP telah mengutip zakat perniagaan sebanyak RM47.2 juta berbanding tahun lepas RM40.2 juta iaitu peningkatan sebanyak 17 peratus.

Dalam pada itu, pada majlis sama, PPZ-MAIWP turut menerima sumbangan sebanyak RM2.25 juta untuk Tabung Musaadah Covid-19 PPZ daripada enam syarikat korporat iaitu Cagamas Bhd. (RM50,000); Maybank (RM350,000); Lembaga Tabung Haji (RM500,000); Bank Pembangunan Malaysia Bhd. (RM2 juta); CIMB Bank Bhd. (RM300,000) dan UDA Holdings (RM50,000).
Majlis penyampaian zakat perniagaan dan sumbangan tersebut disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali. – WILAYAHKU