LABUAN – Jabatan Penerangan (Japen) Labuan mengambil inisiatif meneruskan hebahan bergerak menggunakan unit kenderaannya bagi menyebarkan maklumat kepada orang ramai agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa bermula 18 hingga 31 Mac ini.
Pengarah Penerangan Labuan, Supian Musa berkata, pihaknya melakukan hebahan tersebut menggunakan sebuah unit kenderaan bergerak van Japen bagi menyampaikan maklumat secara tepat kepada orang ramai.
“Kita buat hebahan guna versi bahasa Melayu sahaja, jadi kita mahu semua orang faham mengenai arahan kerajaan supaya orang ramai berada di rumah dan tidak keluar melainkan untuk membeli barang keperluan,” katanya di sini hari ini.
Supian berkata, pihaknya akan bergerak di seluruh pelosok Labuan untuk mengingatkan rakyat tentang keperluan mematuhi perintah tersebut dalam usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19. – WILAYAHKU
