PUTRAJAYA – Penceramah terkenal yang berasal dari Indonesia, Ustaz Dr. Abdul Somad memukau hadirin di Ceramah Perdana ‘Prima Dakwah Wilayahku’ sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) atau Masjid Besi di sini malam tadi.
Program anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan MTMZA itu bertujuan mengeratkan silaturrahim, perpaduan sesama muslim serta platform interaksi dan ramah mesra warga Wilayah Persekutuan.
Dalam sesi kira-kira 1 jam 20 minit itu, Abdul Somad menyampaikan ceramah bertajuk ‘Pembangunan Masyarakat Sejahtera : Mencontohi Nabi SAW Dalam Membangunkan Masyarakat Sejahtera Mengikut al-Quran Dan Sunnah’.
Beliau turut mengetengahkan idea serta perkongsian dalam melahirkan sebuah masyarakat sejahtera yang seimbang dari segi spiritual dan fizikal dalam membentuk sistem kekeluargaan yang harmoni serta masyarakat madani.
Sebelum mengakhiri ceramah dengan bacaan doa, Abdul Somad mengambil kesempatan mengingatkan jemaah yang hadir untuk sentiasa merujuk al-Quran agar kehidupan sentiasa berada di bawah rahmat Allah.
Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad dalam ucapannya berkata, penganjuran program tersebut bertepatan dengan pelan tindakan Blueprint Masyarakat Sejahtera Perbadanan Putrajaya untuk mendidik komuniti Putrajaya yang berilmu, bermutu dan juga berbudi.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha KWP, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim. – WILAYAHKU
