KUALA LUMPUR – Lebih 200 orang menghadiri temuduga terbuka yang dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berlangsung di Institut Latihan DBKL (IDB), Cheras dari 21 hingga 22 Januari lalu.

Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Pengurusan Sumber Manusia DBKL, Asyqoh Yusof berkata, keseluruhan calon yang hadir disaring terlebih dahulu dan jawatan yang ditawarkan adalah berstatus Pekerja Sambilan Harian (PSH).
“Kesemua dokumen yang dikemukakan perlu mendapat cop pengesahan selain semakan sebelum mereka perlu melalui peringkat kedua iaitu temuduga dengan pegawai-pegawai DBKL.
“Sekiranya berjaya, mereka akan dihubungi melalui emel masing-masing dan dikehendaki melapor diri pada Februari ini,’’ katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.
Asyqoh menjelaskan, temuduga yang dijalankan itu adalah secara terbuka dan dijalankan selama tiga hari untuk beberapa jawatan.
“Bagi kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dijalankan pada 21 Januari, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 22 Januari dan diploma pada 23 Januari,’’ katanya.
Bagi calon berkelulusan ijazah sarjana muda pula, permohonan boleh dilakukan melalui portal DBKL di https://apps.dbkl.gov.my/epengambilan/.
Tambah Asyqoh, kebanyakan calon yang hadir untuk sesi temuduga adalah warga Kuala Lumpur.
“Kita lihat calon-calon tersebut berpotensi dan dapat melihat kesungguhan mereka untuk mendapatkan pekerjaaan,” katanya.
Kata Asyqoh, jawatan PSH adalah untuk tempoh tiga bulan dan ia bergantung kepada pencapaian masing-masing.
“Ia juga bergantung kepada bidang tugas dan sekiranya sesuatu jawatan itu perlu disambung, maka pekerja tersebut akan dilanjutkan perkhidmatan,’’ katanya.