KUALA LUMPUR – Kandang peliharaan kerbau di Bukit Lanjan, Segambut di sini ditutup sekali gus menyelesaikan isu haiwan berkeliaran pada waktu malam dan pagi di lokasi berkenaan.

Datuk Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, perkara itu dimaklumkan pemilik haiwan ternakan berkenaan selepas pemeriksaan dilakukan pihaknya di Kampung Sungai Penchala pada 6 Januari lalu.
Ujar beliau, hasil pemeriksaan juga mendapati tiada haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau berkeliaran pada waktu susulan aduan.
“Pemilik juga mengaku kerbau yang dilaporkan dalam akhabar adalah miliknya dan berjanji untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
“Dia akan buat pagar di kawasan baharu dalam masa dua hari. Pada masa ini terdapat 13 ekor kerbau dan 18 lembu di tiga lokasi berlainan yang mana lokasi di Bukit Lanjan akan ditutup,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.
Menurut Nor Hisham, pemilik juga memaklumkan kerbau telah dipindahkan bermula 7 Januari lalu.
Tambah beliau, pemilik juga memaklumkan haiwan ternakannya hanya diletakkan di dua lokasi iaitu di kawasan bukit dan jalan Sungai Penchala 12 dan Kampung Sungai Penchala yang merupakan kawasan tanah persendirian milik rakannya.