Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
[email protected]
KUALA LUMPUR – Seiring dengan kemajuan teknologi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini memperkenalkan inisiatif baharu bagi meningkat jumlah kedatangan pelancong ke ibu kota terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.
Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Noor Azman Mahilin berkata, pihaknya akan memasang dan menggunakan teknologi imbasan Kod QR yang dikenali sebagai ‘Dataran Merdeka KLQR Trail’ di 17 lokasi tumpuan pelancong sekitar ibu negara.
Katanya, inisiatif dengan kerjasama M&N Relocation (MM2H) itu akan melibatkan kawasan di Dataran Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad, Muzium Tekstil Negara, Kolam Biru dan Gereja St. Mary.

“Pelancong akan mendapat segala maklumat terperinci sebaik melakukan imbasan Kod QR yang dipasang di kawasan terbabit. Projek ini dah mula pada 20 Disember lalu dan sedang melakukan tempoh percubaan sehingga pertengahan Januari.
“Ini merupakan inisiatif pertama di Malaysia bagi mempromosikan Kuala Lumpur kepada pelancong dalam dan luar negara lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Malaysia 2020. Diharapkan ia membawa impak positif selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pra Pelancaran Produk Pelancongan ‘Dataran Merdeka KLQR Trail’ di sini hari ini.
Dalam pada itu, Noor Azman memberitahu, DBKL turut menggalakkan pemandu pelancong menggunakan kod berkenaan dan menjadikannya sebagai medium penerangan dalam mempromosikan kawasan tumpuan pada masa akan datang.
Tambah beliau, DBKL juga bercadang untuk menambah kod tersebut di beberapa lokasi lain seperti Bukit Bintang, Taman Botani dan Kampung Baru pada masa akan datang. – WILAYAHKU