Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
KUALA LUMPUR – Selepas hampir dua minggu pemberian baucar sekolah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dilaksanakan, rata-rata ibu-bapa terus memberikan sambutan dan reaksi positif terhadap pelaksanaan ini.
Malah, Pengurus Outlet Cawangan Kepong, Mohd. Haiqal Nizman, 27 berkata, dia sendiri perlu berulang -alik ke pejabatnya di Shah Alam, Selangor setiap hari bagi memastikan bekalan pakaian mencukupi.
Katanya, sebanyak 70 hingga 80 helai pakaian pelbagai saiz diperlukan di pusat penebusan baucar yang terletak di Boulevard Business Park di Kepong itu.
“Kami tidak berdepan masalah sukar. Apa yang ada hanyalah kekurangan saiz tertentu, tetapi mereka (ibu-bapa ) boleh mengambilnya pada hari lain apabila kami terima stok baharu.
“Malah kami juga akan cuba berhubung dengan ibu bapa apabila barang yang diperlukan sudah ada,” katanya ketika ditemui Wilayahku hari ini.
Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad yang juga pengerusi YWP memaklumkan, seramai 20,000 pelajar di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah dikenal pasti layak mendapat bantuan persekolahan.
Baucar bantuan persekolahan sebanyak RM120 ini merangkumi tiga pasang pakaian sekolah, dua pasang stokin dan sehelai baju putih sukan.

Dalam pada itu, pekerja outlet, Siti Sahirah Ali ,17 berkata, pelaksanaan baucar itu bukan sahaja memberi manfaat kepada ibu bapa tetapi memberi manfaat kepada pelajar sepertinya yang mahu mencari pengalaman dan pendapatan sendiri.
“Saya bertemu pelbagai ragam manusia. Ada yang menarik untuk dipelajari. Selain itu, saya juga dapat mencari pendapatan sendiri.
“Program seperti ini banyak memberi manfaat kepada golongan lain juga,” jelasnya. – WILAYAHKU