Oleh HELMI MOHD. FOAD
KUALA LUMPUR – Imam Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dinobatkan sebagai Tokoh Utama Ma’al Hijrah 1441 Peringkat Wilayah Persekutuan.
Anugerah tersebut disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof pada majlis sambutan Ma’al Hijrah 1441 di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Penganugerahan itu membolehkan Syaikh Ismail, 76, membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, jongkong emas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), piala iringan dan sijil.
Syaikh Ismail yang merupakan kumpulan pertama pelajar Tahfiz al-Quran di Masjid Negara (1966-1969) memberikan sumbangan besar dalam perkembangan pengajian al-Quran dan dakwah termasuk menjadi hakim Musabaqah Menghafaz al-Quran peringkat kebangsaan dari 1984 hingga sekarang.
Beliau yang berasal dari Dungun, Terengganu turut pernah diberi kepercayaan berkhidmat sebagai Timbalan Pengetua Institut Tahfiz Sultan Hasanal Bolkiah, Brunei sebelum dilantik sebagai Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya pada 2001 hingga 2006 dan Imam Besar Masjid Negara pada 2007.
Ismail berkata, beliau melahirkan penghargaan atas anugerah tersebut dan mengucap rasa syukur kepada Allah.
”Saya menyeru kepada umat Islam agar terus mengekalkan keharmonian dan keamanan dalam sebuah negara pelbagai agama dan kaum seperti yang dikecapi selama ini,” katanya.
Beliau turut mahu umat Islam mempertahankan Islam daripada unsur yang boleh mencemarkan kesucian agama itu dan memastikan syiarnya terus bersinar.
Sementara itu, Ketua Imam Masjid Ibnu Khaldun Pekan Sungai Besi, Abdul Halim Abdullah, 52, menerima anugerah Tokoh Imam.
Ahli perniagaan Cina muslim, Datuk Muhammad Chan Abdullah, 66, pula menerima anugerah Tokoh Korporat manakala Rektor Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur, Prof. Datuk Dr. Noor Inayah Yaakub dianugerahkan sebagai Tokoh Ilmuan.
Pendakwah wanita, Sitaton Osman, 60, pula menerima anugerah Tokoh Pendakwah.
Beliau yang pernah menerima anugerah Tokoh Wanita Masjid pada 2014 aktif sebagai sukarelawan Majlis AIDS Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia dan sukarelawan Hospital Kuala Lumpur selain terlibat dalam pengurusan jenazah wanita.

Semua penerima anugerah khas itu masing-masing menerima wang tunai RM4, 000,Gold Bar tajaan YaPEIM, piala iringan dan sijil.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd. Ajib Ismail dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Syed Hussein AlHabshee. – WILAYAHKU