SEBANYAK sembilan peratus bersamaan 9,000 rakyat di Labuan dikesan menghidapi penyakit Vertigo yang menyebabkan ilusi palsu diri sendiri, persekitaran atau kedua-duanya bergerak atau berpusing yang disertai loya dan hilang keseimbangan badan.
Menurut Pegawai Perubatan Pakar Hidung, Telinga dan Tekak (ENT), Hospital Labuan, Dr Arthur Wong, penyakit Vertigo terjadi disebabkan keadaan yang menjejaskan bahagian dalam telinga atau sebahagian daripada otak manusia yang melibatkan keseimbangan badan.

“Ia dikenali sebagai Benign Paroxysmal Positional Vertigo (BPPVM) yang biasa dihidapi dua kali ganda oleh golongan wanita berbanding lelaki. Bagaimanapun masalah Vertigo tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seperti penyakit kanser.
“Namun ia memerlukan rawatan terutamanya kepada mereka yang berusia 50 tahun ke atas kerana ia boleh menyebabkan 10 kali ganda kemungkinan untuk mudah jatuh,” katanya pada sesi temu bual Program Bicara Eksklusif di LabuanFM.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan masalah itu boleh menyebabkan kehidupan normal seseorang bertukar menjadi beban dan mengganggu aktiviti harian seperti sukar untuk berdiri atau berjalan.
“Pesakit atau mereka yang berisiko perlu mengamalkan gaya hidup sihat bagi mengelak daripada serangan Vertigo. Mereka yang mempunyai tanda-tanda perlu segera berjumpa doktor bagi mengelakkan penyakit tersebut menjadi lebih serius,” katanya. – WILAYAHKU