Berita

9 PATI Filipina, Indonsia dicekup JIM Labuan

- Diterbit 11 September 2024 1:31 PM MYT

SERAMAI sembilan lelaki warganegara Filipina dan Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan dalam satu operasi yang dijalankan di sebuah tapak pembinaan di sini, semalam.

Pengarah JIM Labuan, Raymond Entalai berkata, menerusi operasi yang dijalankan dan hasil pemeriksaan mendapati sembilan Pendatang Tanpa Izin (PATI) membabitkan warganegara Filipina dan Indonesia telah ditahan kerana masing-masing disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, selain tindakan penguatkuasaan dan pemeriksaan, elemen rondaan dan omnipresence berkala dilaksana bagi memberi kesedaran kepada majikan menggaji warga asing mengikut saluran berlandaskan undang-undang.

“Operasi melibatkan 23 pegawai daripada pelbagai bahagian dan unit di Jabatan itu telah memeriksa 58 orang terdiri daripada warganegara Malaysia dan warga negara asing.

“Kesemua tahanan kini ditahan di IPD Labuan dan Depot Imigresen Labuan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Justeru itu, Raymond menegaskan pihaknha tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas yang sah, menyalahgunakan pas serta kemudahan diberikan.

Katanya, majikan yang berminat untuk menggaji pekerja asing secara sah, boleh berhubung terus dengan JIM Labuan untuk keterangan dan info selanjutnya.

“Tindakan pendakwaan juga akan dikenakan terhadap majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan Pas yang sah di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Sekiranya orang ramai ingin membuat sebarang aduan berkaitan PATI, boleh menyalurkan maklumat tersebut melalui talian 087-421 296 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di pautan berikut https://imi.spab.gov.my/eApps/system index.do ataupun melalui e-mel [email protected],”katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas