KERAJAAN telah melaksanakan subsidi tarif elektrik secara bersasar melalui mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT), bertujuan untuk memberikan bantuan yang disasarkan kepada pengguna domestik di Semenanjung Malaysia bermula Januari 2024.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata langkah tersebut menyebabkan kira-kira 1.1 juta akaun domestik dengan penggunaan elektrik antara 601 kWj hingga 1,500 kWj, diterjemahkan kepada anggaran bil elektrik antara RM236.11 hingga RM790.52 dan pengguna ini tidak lagi akan menerima rebat 2 sen/kWj di bawah pelarasan surcaj ICPT, menyebabkan sedikit peningkatan dalam bil elektrik mereka.
“Walaupun pelarasan ini, kerajaan tetap komited untuk menyokong isi rumah berpendapatan sederhana dengan memperuntukkan RM626.12 juta subsidi untuk kategori ini sepanjang tahun.
“Inisiatif ini memastikan kira-kira 86 peratus pengguna domestik di Semenanjung, termasuk mereka yang menggunakan tenaga elektrik di bawah 600 kWj sebulan (anggaran bil RM223.51), terus mendapat manfaat daripada program subsidi kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara semalam.
Menurut PETRA, pihaknya menggunakan “A Guide to Your Electricity Lifestyle” yang diterbitkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk dijadikan panduan bagi memilih kategori pengguna elektrik pada kadar sederhana supaya tidak lagi menerima rebat ketika surcaj perlu dikenakan kepada semua pengguna dalam semakan ICPT yang sedang berkuat kuasa sekali gus memastikan subsidi disasarkan dengan sewajarnya. – WILAYAHKU