MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan tiada kenaikkan harga bagi minyak RON95, sebaliknya 85 peratus daripada penduduk negara ini akan terus membayar harga sama.
Sekali gus menepis dakwaan timbul soal subsidi ditarik sehingga membebankan rakyat seperti diuar-uarkan.
“Tidak ada kenaikan harga RON95 kepada golongan yang berada dalam 85% terbawah dari segi kedudukan sosio-ekonomi. Nak mudah cakap, 85% daripada kita akan terus bayar harga RON95 seperti biasa.
“Kerajaan telah membuat keputusan untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi RON95 dengan garis masa yang jelas, kaedah yang dimuktamadkan itu akan diangkat untuk persetujuan Jemaah Menteri.
“Setelah semuanya telah diharmonikan dan perincian pelaksanaan itu mendapat kelulusan Jemaah Menteri, maka barulah ia boleh diumumkan kepada rakyat,” katanya.
Menurut Rafizi lagi, ada yang terlebih laju dengan segera membuat kesimpulan T15 merujuk kepada pendapatan isi rumah semata-mata.
“Ini macam terlebih laju hebahkan menang perlumbaan sedangkan tak habis pun perlumbaan.
“B40, M40, T20 atau T15 hanyalah garis statistik yang bergantung kepada set data.
“Kalau set data itu merujuk kepada taburan pendapatan isi rumah seluruh Malaysia, maka T15 merujuk kepada isi rumah yang taburan pendapatannya adalah 15% paling tinggi,” katanya.
Menurut Rafizi lagi, kerajaan sedia maklum kos sara hidup tidak boleh diukur berdasarkan pendapatan kasar semata-mata.
Banyak faktor lain yang mempengaruhinya, termasuk saiz isi rumah, lokasi, tanggungan dan sebagainya.
Proses untuk memuktamadkan kriteria yang menentukan kedudukan sosio-ekonomi sesebuah keluarga yang lebih adil katanya sedang berlaku.
“Sudah tentu penentuan T15 ini adalah merujuk kepada taburan yang lebih adil, bukannya berdasarkan pendapatan kasar semata-mata
“Ada yang pertikaikan kenapa tidak dibincangkan dulu?
“Pelbagai perbincangan mengenai kaedah yang lebih adil itu telah dibincangkan sebelum ini.
“Di Parlimen pun saya telah nyatakan hasrat kerajaan untuk beralih dari pengukuran berdasarkan pendapatan kasar semata-mata.
“Kaedah-kaedah yang dicadangkan dan dipertimbangkan juga telah dibentangkan dan dibincangkan di pelbagai peringkat kerajaan,” katanya lagi.
Sementara menjawab kenapa pengumuman dibuat sewaktu pembentangan Belanjawan 2025 perincian belum dimuktamadkan.
Rafizi, berkata Belanjawan ialah penyataan hasrat dan rancangan kerajaan untuk tahun itu.
Angka yang diumumkan itu adalah satu anggaran dan unjuran.
“Bukannya kita dah buat spesifikasi bangunan, lantik kontraktor baru dimasukkan dan diumumkan dalam Belanjawan.
“Kerajaan menyatakan rancangan pendapatan dan perbelanjaan, yang melibatkan dasar-dasar dan projek-projek pada anggaran awal untuk mendapat kelulusan Dewan Rakyat.
“Selepas diluluskan, kerajaan kemudian menggunakan kelulusan itu untuk memperincikan projek-projek untuk dilaksanakan, termasuklah membuka tender, melantik kontraktor dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya jika semuanya perlu diperincikan dan dimuktamadkan sebelum boleh diumum di dalam Belanjawan, maka bertahun-tahunlah barulah kerajaan boleh menyiapkan satu belanjawan dan berjilid-jilid buku belanjawan yang perlu dicetak untuk setiap ahli parlimen.-WILAYAHKU