Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

815 kes jenayah babit pelajar sekolah rendah dan menengah

- Diterbit 27 Jun 2024 2:31 PM MYT

SEBANYAK 815 kes jenayah membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah direkodkan dari tahun 2019 hingga 2023.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) sangat memandang serius kes-kes jenayah yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah.

“Antara kesalahan indeks jenayah membabitkan pelajar paling tinggi direkodkan oleh PDRM adalah kes curi motosikal, lain-lain kecurian, mencederakan orang dan lain-lain.

“Walaupun statistik tangkapan membabitkan pelajar sekolah dalam indeks jenayah menunjukkan berlakunya trend penurunan, namun ianya masih perlu diberi penekanan dan perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib (PN-Maran) yang meminta KDN menyatakan statistik kes jenayah yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah dalam tempoh lima tahun termasuk tahun 2023.

Jelas Saifuddin, pada tahun 2019, sebanyak 14 kes jenayah yang melibatkan pelajar sekolah rendah dan 92 kes jenayah bagi pelajar sekolah menengah.

“Bagi tahun 2020, jumlah kes jenayah adalah sebanyak empat kes bagi sekolah rendah dan 46 kes bagi pelajar sekolah menengah, tahun 2021 statistik menunjukan jumlah kes jenayah adalah sebanyak enam kes bagi sekolah rendah dan 68 kes bagi sekolah menengah pada tahun 2021.

“Pada tahun 2022 pula, jumlah kes jenayah adalah sebanyak 15 kes bagi pelajar sekolah rendah dan 277 kes bagi pelajar sekolah menengah dan manakala pada tahun 2023, jumlah kes jenayah bagi pelajar sekolah rendah adalah sebanyak 25 kes dan 268 kes bagi pelajar sekolah menengah,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas