Berita

81 program SDG telah dilaksanakan

MAHADI (kanan) bersama Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib (tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Kuala Lumpur SDG Centre Digital Twin dan Pelancaran Kuala Lumpur Voluntary Local Review 2022 di Mayor’s Courtyard Biro Pelancongan Kuala Lumpur Jalan Tangsi baru-baru ini.
- Diterbit 29 Mac 2023 3:40 PM MYT

SEBANYAK 81 program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) telah berjaya di laksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk dan pihak swasta, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Katanya, ketika ini semua bandar mendepani perubahan iklim yang membawa kepada cuaca melampau, kemusnahan alam sekeliling, kehilangan jiwa dan juga memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi.

“Melalui krisis tersebut, ia turut menurunkan kualiti kesejahteraan hidup dan isu-isu yang terkait ini telah menggugat kemampanan sesebuah penempatan khususnya di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Perasmian Kuala Lumpur SDG Centre Digital Twin dan Pelancaran Kuala Lumpur Voluntary Local Review yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, di ibu negara Khamis lalu.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Urbanice Malaysia; TPr. Ts Norliza Hashim dan Timbalan Ketua Setiasuaha Perancangan dan Pembangunan, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Datuk Saidatu Akhma Hasan.

Jelasnya, bilangan inisiatif SDG yang telah dilaksanakan di Kuala Lumpur jauh lebih banyak daripada 81 program tersebut sekiranya mengambil kira bilangan program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh lain-lain NGO, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah, Persatuan-Persatuan Penduduk, pihak swasta, dan komuniti Kuala Lumpur secara keseluruhannya.

Menurut Mahadi, peranan DBKL amat penting dalam memastikan Kuala Lumpur diurus tadbir secara profesional berdasarkan tata kelola pengurusan bandar yang cemerlang serta dengan kejituan usaha tinggi untuk menjadikannya sebagai bandar raya yang selamat, berdaya tahan serta dapat meningkat kualiti hidup yang sejahtera dan mampan untuk semua warga kota.

“Seiring dengan kemajuan teknologi dan keperluan penyampaian maklumat yang cepat dan berkapasiti tinggi kepada orang ramai, DBKL kini telah menaiktaraf Pusat SDG Kuala Lumpur kepada Kuala Lumpur SDG Centre Digital Twin.

“Kuala Lumpur SDG Centre Digital Twin ini merupakan satu platform digital yang memainkan peranan sebagai pusat pengumpulan data mengenai usaha-usaha SDG yang dilaksanakan oleh DBKL dan juga NGO, Pihak Swasta, Persatuan Penduduk dan komuniti di Kuala Lumpur,” katanya.

Menjelas lanjut, selain sebagai pusat pengumpulan data, Kuala Lumpur SDG Centre Digital Twin ini juga berfungsi sebagai platform untuk mengadakan forum atas talian dalam kalangan warga Kuala Lumpur, orang ramai dan seluruh dunia.

“Kuala Lumpur SDG Centre Digital Twin ini juga akan membolehkan penyebaran maklumat berkaitan dengan SDG kepada khalayak ramai dan melalui cara ini ia dapat mengoptimumkan perkongsian pengetahuan,berkenaan dengan inisiatif merakyatkan SDG yang dilaksanakan di Kuala Lumpur,” katanya.

Datuk Bandar berkata oleh kerana bandar-bandar di dunia ini berkongsi isu perbandaran yang typical, beliau percaya bahawa usaha-usaha DBKL dan Penduduk Kuala Lumpur ini juga boleh diadaptasikan di bandar-bandar lain di dunia.

“Saya menyeru kepada orang ramai khusus warga kota untuk memuat naik maklumat inisiatif SDG yang telah dilakukan di Kuala Lumpur kerana pusat ini bukanlah hanya memaparkan program-program dan pembangunan SDG yang dilaksanakan oleh DBKL semata -mata.

“Program dan Pembangunan SDG yang diusahakan oleh lain-lain warga kota wajar dan turut dikongsikan di platform ini dan ia sekali gus dapat memperkasakan lagi Pusat SDG yang pertama ditubuhkan di Malaysia dan seluruh Asia-Pasifik serta diiktiraf oleh UN-Habitat ini dan menjadi bertaraf dunia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebagai bukti ke atas komitmen Kuala Lumpur kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan, DBKL telah menyiapkan Laporan Voluntary Local Review (VLR) yang dijadualkan akan dibentangkan di United Nations (UN) High Level Political Forum di New York Julai ini.

“Saya percaya, dengan pengemukaan Laporan VLR ini kepada pihak United Nations, ia merupakan satu bukti yang sesungguhnya Kuala Lumpur telah pun melaksanakan komitmen dalam mencapai matlamat SDG yang ditetapkan oleh the United Nations.

“Tindakan ini juga bertepatan dengan New Urban Agenda 2030 yang mementingkan dan memberi fokus kepada sesebuah bandar yang mampan, berdaya tahan, selamat dan inklusif untuk semua,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas