Berita

81 ekor ternakan bakal dikorbankan di Putrajaya

PESERTA korban digalakkan mengambil suntikan tifiod selain daripada menjaga kebersihan persekitaran
- Diterbit 6 Jun 2024 2:40 PM MYT

DIANGGARKAN 81 ekor ternakan korban yang terdiri daripada lembu dan kambing bakal dikorbankan di Putrajaya pada sambutan Hari Raya Aidiladha minggu hadapan.

Menurut Pengarah Kesihatan Persekitaran, Perbadanan Putrajaya (PPj), Dr Mohd Helmi Abdul Hamid, sekurang-kurangnya 78 ekor lembu dan tiga ekor kambing akan disembelih bermula 10 hingga 13 Zulhijah.

“Dalam masa yang sama kita masih membuka permohonan tapak ibadah korban sehingga 10 Jun ini. Kita telahpun menerima sebanyak 16 permohonan tapak sehingga (Rabu).

“Pemohon perlu memohon kepada PPj secara atas talian. PPj akan berikan kelulusan tapak setelah mengenal pasti kesesuaian tapak tersebut dari ulasan teknikal dalam PPj. Seterusnya, pemohon boleh mendapatkan permit sijil kesihatan haiwan dan permit akuan pemindahan haiwan ternakan daripada Jabatan Veterinar,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Mohd Helmi berkata, bagi menjamin kelestarian persekitaran, PPj menekankan aspek kebersihan pengurusan sampah sisa haiwan bagi mengelakkan sebarang pencemaran yang boleh berlaku.

“Ia berdasarkan Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Korban Bil 2 Tahun 2013 yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban Bil 1 Tahun 2013 keluaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Selain itu, dianggarkan lebih kurang lima hingga lapan orang petugas ditempatkan bagi sesuatu kawasan yang diluluskan dan terdiri daripada wakil Bahagian Alam Sekitar Tasik dan Wetland, Bahagian Kesihatan Persekitaran (Seksyen Kebersihan & Seksyen Keselamatan dan Kualiti Makanan), Bahagian Penguatkuasaan wakil veterinar serta wakil JAWI,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, peserta korban digalakkan mengambil suntikan tifiod selain daripada menjaga kebersihan persekitaran seperti pengurusan sisa haiwan, sistem perparitan dan harta benda berhampiran. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas