Berita

800 peserta warnai SRN23 di Putrajaya

PEMENANG bagi kategori Best Dress membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM200.
- Diterbit 4 Ogos 2023 7:00 AM MYT

KIRA-KIRA 800 peserta memeriahkan SHERUN Putrajaya 2023 (SRN23) yang diadakan di Taman Botani, Putrajaya ­pada Ahad lalu.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud ­berkata SRN23 merupakan acara ­larian santai khusus untuk kaum wanita dan ­merupakan anjuran Four Low Events dengan kerjasama PPj.

“SHERUN mula dianjurkan ­pada ­tahun 2019 di Taman Wetland, tahun 2020 (Taman Wawasan) dan pada ­kali ini di Taman Botani, SRN23 menampilkan ­tema fantasy garden bersesuaian dengan reka bentuk landskap yang menarik di ­lokasi acara dan juga di sepanjang laluan larian,” kata beliau dalam satu kenyataan media.

Fadlun berkata larian ini ­mengetengahkan kategori fun run ­dengan jarak laluan sejauh lima kilometer.

“Majoriti peserta terdiri ­dalam ­kalangan kaum wanita yang ­baru ­berjinak-jinak dalam aktiviti larian ­serta mereka yang ingin meluangkan ­masa ­hujung ­minggu bersama keluarga dengan menyertai ­aktiviti sihat dan ­menyeronokkan,” ujar beliau.

Lebih menarik, beliau ­memaklumkan acara kali ini, ­para peserta tampil ­dengan pelbagai ­kostum unik dan ­feminin ­meskipun perlu berlari atau berjalan ­sehingga ke garisan penamat.

“Justeru itu, bagi menghargai ­kesungguhan peserta kostum paling menarik turut dipilih bagi kategori best dress untuk kanak-kanak dan dewasa.

“Selain larian, beberapa acara lain turut diadakan antaranya termasuk sesi ­senaman ringan atau zumba, ­persembahan muzik serta booth jualan dan promosi,” jelas beliau SRN23 turut menerima penyertaan peserta lelaki yang berlari bersama pasangan masing-masing sebagai pacer. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas