Berita

8.8 tan sampah disapu bersih, 250kg dikitar semula di Bazar Aidilfitri Lorong TAR

- Diterbit 31 Mac 2025 8:30 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya mengutip 8.8 tan sampah dan mengitar semula 250 kilogram sisa pada hari terakhir operasi Bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman (Lorong TAR).

Menerusi hantaran di Facebook, tindakan pantas pasukan pembersihan DBKL dengan kerjasama Alam Flora Sdn Bhd memastikan kawasan tumpuan perniagaan itu kembali bersih sejurus selepas bazar ditutup.

“Fokus utama operasi intensif ini adalah membersihkan longkang, laluan pejalan kaki, dan persekitaran bazar bagi mengelakkan pencemaran serta mengekalkan imej bandar raya yang bersih dan selesa,” katanya

DBKL berkata dari jumlah sampah yang dikutip, sebanyak 250 kilogram terdiri daripada bahan boleh dikitar semula seperti plastik, kertas, dan aluminium, yang telah dihantar ke pusat kitar semula untuk diproses.

Menurut DBKL, usaha ini bukan sahaja untuk memastikan kebersihan bandar raya tetapi juga menggalakkan kesedaran sivik dalam kalangan peniaga dan pengunjung bazar. Orang ramai diseru untuk mengamalkan konsep “Sifar Sisa” bagi mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

Lorong TAR kekal sebagai destinasi utama bagi umat Islam membuat persiapan Aidilfitri, dan DBKL komited dalam memastikan lokasi ini bebas daripada timbunan sampah setiap tahun.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas