Berita

8.7 juta terima bayaran akhir STR mulai esok

- Diterbit 6 November 2024 6:31 PM MYT

KERAJAAN akan menyalurkan bayaran akhir Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 secara berperingkat bermula esok kepada 8.7 juta penerima mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Menurut Kementerian Kewangan, pada masa sama kerajaan juga akan menyalurkan bantuan tunai tambahan one-off Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada lapan juta penerima STR yang bukan daripada kumpulan miskin dan miskin tegar mengikut kaedah pembayaran STR mulai 9 Disember ini.

Jelas kementerian itu, baki 700,000 penerima STR daripada kumpulan miskin dan miskin tegar akan terus menerima manfaat bantuan SARA sepanjang tahun.

“Dengan penambahan bantuan tunai ini, isi rumah berkelayakan akan menerima sehingga RM1,000 untuk pembayaran akhir STR bagi tahun ini.

“Ia selaras dengan keprihatinan Kerajaan MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kementerian Kewangan memberitahu, pembayaran terakhir STR melibatkan peruntukan RM3.4 bilion dan kerajaan telah menyalurkan hampir RM10 bilion kepada penerima STR dan SARA sepanjang tahun ini berbanding RM8 bilion pada tahun lalu.

Katanya, di bawah Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menambah baik STR dan SARA 2025 dengan peruntukan keseluruhan RM13 bilion.

Menurut kementerian itu, kerajaan juga mengambil pendekatan untuk membuka pendaftaran STR 2025 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.

Jelasnya, ia bagi memastikan mereka yang layak, namun tiada dalam pangkalan data kerajaan tampil mengemukakan permohonan masing-masing selain membenarkan penerima sedia ada membuat pengemaskinian sekiranya mempunyai perubahan maklumat.

“Bagi mengurangkan golongan yang tercicir, data penerima STR sedia ada akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan selain data daripada beberapa agensi kerajaan lain untuk disemak kelayakan STR 2025 mengikut syarat ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu Kementerian Kewangan menasihati penerima STR agar berwaspada dengan pautan tidak sah oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program bantuan tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas