SEBANYAK 75 tindakan penguatkuasaan telah diambil sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMP) Krismas 2024 yang berkuat kuasa dari 23 hingga 27 Disember 2024.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata tempoh pelaksanaan skim ini adalah selama lima hari dan berkuat kuasa dua hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.
“Sepanjang pelaksanaan skim ini, sebanyak 2,748 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh negara merangkumi premis runcit, borong dan pengeluar. Daripada jumlah pemeriksaan
tersebut, tindakan undang-undang yang telah dikenakan ke atas peniaga yang gagal mematuhi sepenuhnya perundangan yang ditetapkan.
“Sebanyak 74 kes gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu dan satu kes tiada tanda harga telah dihasilkan melibatkan nilai kompaun sebanyak RM8,600. Tiada kes melibatkan penjualan melebihi harga yang ditetapkan dikesan sepanjang tempoh tersebut,” kata KPDN dalam kenyataan hari ini.
Menurut KPDN, sebanyak sembilan jenis barangan yang dikawal harganya di Semenanjung Malaysia dan tambahan empat barangan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan serta tambahan lima barangan di Sarawak.
“Ia menjadikan jumlah keseluruhan barang yang dikawal adalah sebanyak 14 jenis barangan berserta harga maksimumnya telah diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024,” katanya.
KPDN berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan semasa pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024 dan majoriti peniaga yang diperiksa komited serta mematuhi perundangan harga maksimum yang berkuatkuasa sepanjang pelaksanaan skim ini.
“KPDN juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi di bawahnya, pihak industri dan keseluruhan peniaga atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024.
“Berdasarkan pemantauan dan penguatkuasaan KPDN serta maklum balas orang ramai, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024 telah berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.-WILAYAHKU