PROGRAM Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi membekalkan makanan tambahan kepada murid sekolah rendah daripada keluarga miskin tegar telah memberikan manfaat kepada kira-kira 724,671 murid sehingga 31 Oktober lalu.
Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan bagi program RMT serta Program Susu Sekolah adalah sebanyak RM784,295,100.
“Daripada jumlah tersebut, RM549,949,500 diperuntukkan untuk RMT manakala RM234,345,600.00 diperuntukkan untuk Program Susu Sekolah,” katanya ketika menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda pada sesi jawapan lisan di Dewan Negara semalam.
Jelasnya menerusi Belanjawan 2025, KPM telah diluluskan peruntukan sebanyak RM869,656,100 iaitu sebanyak RM610,465,820 diperuntukan untuk RMT dan sebanyak RM259,190,280 diperuntukkan untuk Program Susu Sekolah.
Tambah KPM, pihaknya komited dalam menjaga kebajikan murid termasuk perkara berkaitan malnutrisi dan pemakanan mereka serta turut membekalkan makanan tambahan kepada murid sekolah rendah yang layak mengikut syarat yang telah ditetapkan iaitu murid daripada keluarga miskin tegar berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan nasional, murid di sekolah Orang Asli/Penan dan murid berkeperluan pendidikan khas. -WILAYAHKU