MELAKA menjadi tuan rumah sambutan Hari Belia Negara peringkat kebangsaan 2024 (HBN 2024) yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini di Dataran Pahlawan di sini.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Melaka Khairul Adri Rosli berkata program bertemakan ‘Yakin Boleh’ itu menyediakan 72 aktiviti menerusi 10 segmen gaya hidup dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu.
Pada majlis itu, Perdana Menteri dijadual menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) kepada penerima anugerah Tokoh Belia Lelaki dan Wanita serta Pertubuhan Belia Terbaik.
“APBN merupakan pengisian utama sambutan HBN 2024 bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan serta peranan golongan belia dalam agenda pembangunan negara,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata program berkenaan juga akan dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Menteri Komunikasi Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
“Sepuluh segmen gaya hidup di bawah jenama Rakan Muda ialah Rakan Aktif, Rakan Litar, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Demokrasi, Rakan Prihatin, Rakan Mahir, Rakan Niaga, Rakan Bumi dan Rakan Muzik.
“Setiap segmen menyediakan platform berbeza-beza untuk semua belia pelbagai kaum di negara seperti Rakan Aktif menjadi platform bagi aktiviti fizikal membentuk masyarakat aktif cergas selaras dengan hasrat Malaysia aktif,” katanya.
Menurut Khairul Adri, segmen Rakan Digital pula merupakan platform teknologi digital, media sosial dan saluran digital bagi menyerlahkan kreativiti dan inovasi selain mendidik belia menjadi pengguna bertanggungjawab.
“Selain itu, golongan belia juga berpeluang berniaga dan mencari pendapatan tambahan pada festival tiga hari ini dan pengunjung berpeluang mempelajari ilmu barista dan pembuatan pastri daripada Institut Kemahiran Belia Negara Alor Gajah dan Pagoh,” katanya.
Berkonsepkan festival secara outdoor dan indoor, kebanyakan program akan dilaksanakan secara terbuka di sekitar Dataran Pahlawan dengan sasaran 30,000 pengunjung dari dalam dan luar Melaka, manakala aktiviti indoor dijalankan dalam pusat beli-belah Dataran Pahlawan seperti permainan e-sukan dan pameran melibatkan pelbagai agensi.
“Rakan strategik penganjuran HBN 2024 ini ialah Majlis Belia Malaysia yang bekerjasama dengan lebih 40 badan gabungan belia dalam Malaysia untuk menggerakkan semua aktiviti atau program yang telah dirangka,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Kembara RIUH x HBN 2024 juga turut diadakan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi, yang diselaraskan MyCreative Ventures Sdn Bhd. – BERNAMA