Biz

700,000 pengguna aplikasi Think Quran

- Diterbit 5 Januari 2024 4:10 PM MYT

UMAT Islam sepatutnya bukan hanya sekadar membaca ayat-ayat Al-Quran sahaja, tetapi juga perlu memahami isi kandungan ayat-ayat suci tersebut dengan lebih mendalam.

Namun pada hari ini, yang menjadi masalah besar, tidak semua mereka yang membaca Al-Quran faham ayat yang terkandung dalam kitab suci tersebut melainkan merujuk terjemahannya.

Bagi memastikan umat Islam mampu memahami kandungan Al-Quran tanpa asas Bahasa Arab, aplikasi Think Quran adalah jawapan kepada permasalahan yang membelenggu ramai sejak beratus tahun dahulu.

Menggunakan aplikasi teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI) yang popular ketika ini, ia merupakan merupakan satu-satunya aplikasi belajar bahasa Arab Al-Quran yang pertama seumpamanya di dunia.

Menurut Pengarah Think Quran, Amir Hassan aplikasi tersebut memecahkan sejumlah 77,429 perkataan yang ada dalam Al-Quran menjadi 1,001 perkataan yang paling banyak diulang dalam kitab tersebut.

AMIR (kiri) bersama Pengasas Think Osem Sdn Bhd, Datuk Abdul Radzeen Abdul Rahman.

“Apabila mendengar perkataan yang sama diulang-ulang ketika belajar dan buat latih tubi berulang kali menggunakan aplikasi tersebut, maka pada akhirnya mereka akan ingat perkataan itu dan mudah memahami maksud ayat di dalam Al-Quran,” ujar beliau.

Bercerita lanjut tentang penubuhan aplikasi tersebut pada pertengahan tahun 2022, Amir berkata idea tersebut tercetus ketika negara berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.

“Ketika itu, kita lihat ramai yang kecundang dalam hidup dan tidak kurang juga ramai yang mencari sesuatu dalam diri. Salah satunya adalah kembali kepada Al-Quran sebagai pegangan. Jadi, tidak hairanlah ketika itu banyak kelas mengaji dalam talian dibuat.

“Daripada situ kita cari jalan bagaimana untuk memahami dengan cara yang mudah kerana semua sedar untuk mempelajari bahasa Al-Quran ini bukan senang. Ramai yang belajar separuh jalan kemudian kecundang.

“Dalam masa yang sama, kita ambil iktibar bagaimana orang asing yang datang ke Malaysia hanya mengambil masa tiga bulan sahaja untuk menguasai bahasa Melayu. Apabila dikaji semula, mereka ini bermula daripada belajar perkataan atau kosa kata dan daripada situ mampu dikembangkan menjadi ayat,” jelas beliau.

Bermula daripada situlah, ilham untuk mewujudkan aplikasi pendidikan,Think Quran di bawah Syarikat Think Osem Sdn Bhd terlaksana sekali gus membantu masyarakat mengetahui kepentingan membaca Al-Quran dalam bahasa Arab.

Tambah beliau, sehingga kini, aplikasi Think Quran mempunyai empat bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Indonesia, bahasa Turki dan terdapat tujuh lagi bahasa yang masih dalam proses pembangunan.

“Alhamdulillah dalam tempoh satu tahun lima bulan kita telah pun mempunyai empat bahasa dan misi kita pada masa akan datang adalah untuk mempunyai 20 sehingga 25 bahasa utama dunia dalam aplikasi ini,” ujar beliau yang juga merupakan penulis blog denaihati.com.

Bercerita lanjut tentang Think Quran yang menggunakan sistem affiliate ini, Amir berkata aplikasi tersebut telah pun dimuat turun secara percuma oleh 700,000 pengguna seluruh dunia sementara 36,000 pengguna lagi secara berbayar.

“Bagi pengguna berbayar mereka boleh mengakses kepada 1,001 perkataan yang paling banyak diulang dalam Al-Quran selain berpeluang menikmati pelbagai keistimewaan lain berbanding 100 patah perkataan bagi mereka yang memuat turun secara percuma.

“Dalam masa yang sama, misi kita adalah memperoleh 100 juta pengguna berbayar. Memandangkan Think Quran merupakan satu-satunya aplikasi belajar bahasa Arab Al-Quran dalam dunia ini jadi saya rasa itu tidak mustahil untuk dicapai,” ujar beliau berharap aplikasi ini membantu menguatkan ekonomi Muslim.

Mengulas lanjut tentang sistem affiliate, beliau berkata harga untuk menjadi pengguna berbayar adalah serendah RM399 seumur hidup namun boleh didapati dengan harga diskaun sebanyak RM100 melalui pengedar yang sah.

“Kita membantu usahawan Think Quran di mana mereka boleh sebarkan link ini sebanyak mana kepada orang ramai. Kita memberi sehingga 70 peratus komisen kepada usahawan kita,” ujar beliau Think Quran berjaya merangkul The BrandLaureate Digitech Best Brands Award 2023.

Tawan pengguna Indonesia

Memandang ke hadapan, pada tahun ini, fokus utama Think Quran adalah untuk menawan pengguna di Indonesia memandangkan negara seberang tersebut mempunyai seramai 230 juta penduduk yang beragama Islam.

“Pasaran di sana besar dan insya-Allah kita akan cuba yang terbaik untuk mengembangkan lagi aplikasi ini. Dalam masa yang sama, kita juga akan merealisasikan penambahan sebanyak tujuh bahasa dalam aplikasi tersebut.

“Bagi menguatkan lagi sokongan sistem untuk keusahawanan Think Quran, kita juga turut menyediakan kelas secara dalam talian kepada mereka setiap hari di mana kelas tersebut dijalankan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris. Aplikasi ini juga tidak lama lagi akan boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store,” ujar beliau Think Quran kini mempunyai 5,000 usahawan berdaftar di seluruh dunia. – WILAYAHKU

SEKITAR majlis pelancaran Think Quran di The Curve, Damansara tahun lalu

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas