Berita

7,000 kekosongan PPR/PA, penyewa tidak mohon perbaharui kontrak

- Gambar hiasan
- Diterbit 23 Januari 2025 10:27 AM MYT

LEBIH 7,000 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) tidak membuat permohonan untuk menyambung penyewaan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Kesejahteraan Bandar, Zulkifli Muhamad, pihaknya telah menghantar notis enam bulan sebelum penyewaan tamat kepada 15,000 penyewa PPR dan PA dan mereka perlu memperbaharui kontrak sewaan.

“Daripada jumlah tersebut, 45.7 peratus atau lebih 7,000 penyewa yang tidak menghantar sebarang pemakluman kepada DBKL sama ada mahu memperbaharui kontrak atau tidak.

“Sekiranya mereka tidak menghantar permohonan untuk memperbaharui kontrak, DBKL akan mengeluarkan notis penamatan penyewaan kepada individu berkenaan serta mereka dikehendaki mengosongkan unit masing-masing,” katanya kepada Wilayahku.

Zulkifli berkata, antara sebab utama penyewa tidak memohon memperbaharui kontrak sewaan adalah disebabkan hilang kelayakan kerana mempunyai pendapatan melebihi had yang ditetapkan.

“Penyewa ini perlu menghantar permohonan dan mereka mestilah menyertakan sekali penyata pendapatan sebagai dokumen sokongan sebagai kriteria untuk melayakkan menyewa di unit PPR dan PA.

“Apabila tidak mohon itu, kami percaya bahawa ia berkaitan dengan pendapatan yang telah melebihi had menyebabkan mereka tidak memohon penyambungan kontrak sewaan,” katanya.

Menurut Zulkifli, terdapat pelbagai sebab yang menyebabkan sebahagian besar penyewa ini tidak memperbaharui kontrak sewaan dengan DBKL.

“Antara sebabnya adalah tidak memenuhi syarat seperti mempunyai pendapatan yang melebihi daripada had, ada tunggakan sewaan dan penyewa mempunyai rumah atau hartanah di dalam jarak radius 35 kilometer (km) dari Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya, pihak DBKL akan mendapatkan maklumat penyewa daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mengenalpasti mana-mana penyewa yang mempunyai hartanah.

“Apabila kita membuat semakan, kami pernah mendapati ada penyewa ini mempunyai dua buah rumah, namun mereka enggan melepaskan hak penyewaan dengan pelbagai alasan.

“Malah ada dalam kalangan penyewa yang mempunyai hartanah yang bukan dalam kategori kos rendah malah bernilai lebih RM500,000,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata pihaknya akan memastikan setiap penyewa mematuhi syarat yang telah ditetapkan sekali gus memastikan kemudahan tersebut dapat diberikan kepada warga kota yang layak.

“Antara penyewa yang diusir adalah sengaja culas membayar sewa, terlibat dengan dadah malah menjadikan unit sebagai stor mengumpul sampah-sampah dan ini juga turut diambil tindakan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas