Berita

700 ribu peniaga kecil diberi pengecualian e-Invois

- Diterbit 16 November 2024 3:18 AM MYT

SEBANYAK 700 ribu peniaga kecil yang mempunyai jualan tahunan di bawah Ram150 ribu diberi pengecualian daripada pengeluaran e-Invois buat masa ini.

Kementerian Kewangan memaklumkan persetujuan itu diberikan sebelum pelaksanaan menyeluruh yang bermula pada 1 Julai 2025 melibatkansemua perniagaan termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Walaupun diberikan pengecualian, namun Kerajaan sangat
menggalakkan penglibatan peniaga kecil dalam inisiatif e-Invois selaras dengan aspirasi negara ke arah pendigitalan perniagaan,” kata MoF dalam sesi jawapan lisan yang dikemukakan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yamg bertanya sama ada perusahaan perniagaan kecil dan mikro dan juga penjaja akan dikecualikan daripada pelaksanaan e-invois selepas 1 Julai

Menurut MoF, Kerajaan sedar akan cabaran yang dihadapi PMKS dalam mengadaptasi e-Invois terutamanya dari aspek penerapan teknologi dan jurang kesediaan pengetahuan berkenaan e-Invois.

“Sehubungan itu, Kerajaan telah menyediakan tempoh peralihan selama enam bulan bagi memberi kelonggaran kepada peniaga untuk mengeluarkan e-Invois
disatukan.

“Ia adalah e-Invois yang menggabungkan semua transaksi jualan setiap bulan dan dikemukakan kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam tempoh tujuh hari pertama dalam bulan berikutnya,” katanya

MoF berkata sepanjang tempoh peralihan ini juga, penalti tidak akan dikenakan kepada perniagaan yang sekurang-kurangnya mengeluarkan e-Invois disatukan.

“Dari segi infrastruktur, LHDNM telah menyediakan Portal MyInvois yang boleh diakses dan digunakan secara percuma bagi membantu penghantaran e-Invois kepada LHDNM.

“Sebagai tambahan, aplikasi MyInvois telah dibangunkan dan disediakan kepada pembayar cukai. Kini pembayar cukai boleh melaksanakan e-Invois menerusi aplikasi MyInvois di telefon pintar masing-masing pada bila-bila masa dan di mana jua,” katanya.

MoF berkata
penggunaan portal MyInvois dan aplikasi MyInvois ini tidak melibatkan sebarang kos tambahan kepada PMKS.

“Bagi peniaga yang memilih untuk membangunkan sistem sendiri atau menggunakan pembekal teknologi, insentif cukai telah disediakan termasuklah berdasarkan pengumuman Belanjawan 2025.

“Kerajaan bersetuju memberi insentif kepada pembayar cukai yang mematuhi garis panduan pelaksanaan e-Invois sepenuhnya, iaitu perbelanjaan bagi pembelian peralatan ICT dan pakej perisian komputer diberikan elaun modal dipercepatkan untuk dituntut sepenuhnya dalam tempoh dua tahun mulai tahun taksiran 2024.

“Kerajaan juga memberikan potongan cukai sehingga RM50 ribu bagi setiap tahun taksiran bagi perbelanjaan yuran perundingan yang ditanggung PMKS mulai tahun taksiran 2024 hingga 2027,” katanya.

Menurutnya, kerajaan akan terus komited untuk membantu semua syarikat termasuk PMKS sepanjang tempoh peralihan dalam melaksanakan eInvois sepenuhnya.

“Sesi libat urus, aktiviti pendidikan dan hand holding
program akan terus dipergiat di seluruh negara bagi menjelaskan proses dan mekanisme pelaksanaan e-Invois, di samping memberi bimbingan berhubung penggunaan Portal MyInvois,” katanya.

Dalam pada itu fasa pertama pelaksanaan e-Invois telah bermula pada 1 Ogos 2024 yang melibatkan syarikat dengan perolehan jualan tahunan melebihi RM100 juta.

“Fasa kedua akan bermula pada 1 Januari 2025 melibatkan syarikat dengan
perolehan tahunan sebanyak RM25 juta ringgit sehingga RM100 juta sebelum pelaksanaan sepenuhnya,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas