SERAMAI 700 peserta telah memeriahkan kayuhan Putrajaya Inter-Park Ride (PIPR), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata penganjuran PIPR edisi ke-33 itu merupakan platform untuk warga Putrajaya dan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat.
“Ini sambil menikmati keindahan semula jadi yang terdapat di Taman Botani,” katanya di Facebook.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan flag-off PIPR bersama Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud di Taman Botani Putrajaya.
Penganjur PIPR ini adalah dalam usaha merealisasikan aspirasi CHASE City khususnya dalam bidang Healthy City.
“Selesai sesi flag-off, saya berkesempatan mengadakan lawatan sekitar Taman Botani.
“Berkeluasan 92 hektar, “Mother of All Gardens” ini merupakan salah satu Taman Botani terbesar di Malaysia dan berkonsepkan floral attractions yang menghimpunkan lebih dari 750 spesies tumbuhan dari 13 koleksi tema tumbuhan yang berasal dari benua-benua yang berbeza,” katanya.
Menurut Zaliha selain Taman Botani, beliau turut singgah ke Moroccon Pavillion Islamic Garden yang diinspirasikan daripada warisan, reka bentuk budaya serta seni bina Maghribi.
“Menariknya, Astaka Morocco ini menghimpunkan seni bina Afrika Utara yang menakjubkan, sekali gus mewujudkan suasana tipikal Maghribi,” katanya.