Berita

700 golongan kurang berkemampuan di Putrajaya terima sumbangan

- Diterbit 15 Mac 2024 10:35 PM MYT

SEJUMLAH RM140,000 diperuntukkan kepada 700 penerima daripada golongan kurang berkemampuan menerusi Program Nur Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata program tersebut merupakan acara tahunan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam menyantuni golongan memerlukan terutamanya orang kurang upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.

“Hari ini seramai 700 orang penerima sumbangan di Putrajaya menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM200 seorang,” ujarnya kepada pemberita selepas Program Nur Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Tambah beliau peruntukan Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan tahun ini sebanyak RM1,100,000 merupakan sumbangan wang zakat daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“JWP turut menyumbang RM100,000 kepada setiap Wilayah Persekutuan bagi penyediaan juadah berbuka puasa dan moreh kepada para asnaf sementara Perbadanan Putrajaya (PPj) turut menyediakan pek asas bakul makanan bernilai RM50 seperti beras, minyak, gula dan tepung.

“Sumbangan kepada Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin turut disampaikan berjumlah RM4,000 bagi menambahkan peruntukan penyediaan makanan berbuka puasa jemaah masjid,” ujar beliau program tersebut merupakan kerjasama bersama PPj. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas