JAWATANKUASA Disiplin Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mengesyorkan tujuh pelajar yang didapati terlibat dalam kes buli ditamatkan pengajian dari institusi pendidikan berkenaan.
Demikian ditegaskan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengenai pelaku buli di asrama MRSM dekat Pulau Pinang seperti tular menerusi video yang tersebar di media sosial.
Menurut beliau, tujuh pelajar berkenaan didapati terlibat dengan dua daripadanya melakukan buli fizikal manakala lima lagi bersubahat.
“Disyorkan semuanya ditamatkan pengajian dari MRSM,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau memberitahu, keputusan tersebut dibuat menerusi Jawatankuasa Disiplin MRSM yang bersidang malam tadi.
Semalam beliau telah mengarahkan pegawai MARA menjalankan siasatan mengenai dakwaan berlakunya aktiviti buli di sebuah MRSM seperti tular di media sosial.
Beliau turut mengingatkan semua bahawa MARA tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pihak yang cuba membudayakan buli dalam apa jua bentuk di MRSM.
“MRSM sepatutnya menjadi medan melahirkan pemimpin masa hadapan negara.
“Sejak hari pertama saya diberikan amanah untuk menjaga MARA, saya sudah tegaskan ‘you touch, you go’,” katanya. – WILAYAHKU