JABATAN Alam Sekitar (JAS) Labuan mencatatkan sebanyak tujuh kes pencemaran alam sekitar membabitkan kes tumpahan minyak di perairan pulau ini dalam tempoh tahun 2023 hingga kini.
Menurut Pengarah JAS Labuan, Zulfadzli Zakaria, rekod yang diperolehi berdasarkan beberapa kes insiden tumpahan minyak berskala kecil dan sederhana yang membabitkan industri minyak dan gas.
Katanya, walaupun kes tersebut tidak mencapai tahap kritikal pihaknya sentiasa melaksanakan pemantauan secara konsisten.
“Bagi tempoh 2023 hingga kini, pihak kami telah merekodkan sebanyak tujuh kes berlakunya tumpahan minyak berskala kecil di beberapa lokasi perairan di Labuan.
“Labuan merupakan sebuan pulau yang berteraskan perindustrian dalam sektor minyak dan gas, ini menjadikan peratusan berlakunya tumpahan minyak itu amat tinggi.
“Walau bagaimanapun, setakat ini hanya melibatkan kes-kes kecil sahaja dan kita berharap kepada pemain industri khususnya dalam sektor perkapalan, minyak dan gas sentiasa mengambil langkah yang sepatutnya bagi mengelakkan insiden itu,” katanya kepada Wilayahku.
Zulfadzli memaklumkan pihaknya telah menjalinkan kerjasama dengan pihak-pihak pelabuhan, minyak dan gas untuk melaksanakan Program Kontingensi Tumpahan Minyak sebagai langkah menangani jika berlakunya insiden tersebut.
Pelancaran program tersebut yang diadakan di Bangunan Megah Port Management (MPM) dirasmikan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abd Rahman.
Baru-baru ini pihaknya telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MPM bertujuan menjaga kelestarian alam sekitar khususnya di perairan lautan daripada sebarang pencemaran bahan kimia. – WILAYAHKU