Berita

693 projek perumahan swasta berstatus lewat, sakit, terbengkalai

- Diterbit 26 Mac 2025 12:30 PM MYT

SEBANYAK 230 projek perumahan swasta lewat, 347 projek perumahan swasta sakit dan 116 projek perumahan swasta terbengkalai dikesan sehingga 28 Februari 2025.

Perkara tersebut dinyatakan dalam Mesyuarat Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) Bilangan 2 Tahun 2025 pada 24 Mac lalu yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu.

Aiman Athirah berkata mesyuarat tersebut bertujuan meneliti dan memantau status terkini projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai di Malaysia.

“Jumlah tersebut menunjukkan terdapat pengurangan bagi bilangan projek perumahan sakit namun terdapat sedikit peningkatan bagi bilangan projek perumahan lewat.

“Bilangan projek perumahan terbengkalai juga bertambah dan terdapat tiga projek perumahan swasta telah disahkan terbengkalai pada Januari 2025 yang melibatkan negeri Selangor, Terengganu dan Pahang.

“Kesemua projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai ini melibatkan nilai pembangunan kasar (Gross Development Value – GDV) sebanyak RM107.04 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi tempoh 1 Januari sehingga 28 Februari 2025, sebanyak 82 projek perumahan swasta sakit telah berjaya memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance – CCC).

“Sebanyak tujuh projek sakit juga kembali lancar iaitu Sunset Villa Property Sdn. Bhd; Fast Crescent Sdn. Bhd; Darar Ehsan Sdn. Bhd; Lestari Puchong Sdn. Bhd; Abra Development Sdn. Bhd; Rimbun Dermaga Sdn. Bhd dan Sendi Wawasan Development Sdn. Bhd.

“Secara keseluruhan, sebanyak 89 projek telah berjaya dipulihkan dengan nilai GDV bagi 89 projek perumahan swasta yang berjaya adalah RM6.48 bilion.

“Walau bagaimanapun, bagi projek perumahan swasta terbengkalai, tiada projek yang berjaya dikeluarkan daripada senarai setakat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Aiman Athirah turut menjangkakan bahawa sebahagian besar pemulihan projek-projek yang dilaksanakan di bawah Inisiatif Belanjawan 2023 akan berjaya memperoleh CFO/CCC pada tahun ini melibatkan 13 projek di mana tiga projek dijangka pada suku tahun pertama, lapan projek pada suku tahun kedua serta masing-masing satu projek pada suku tahun ketiga dan satu projek lagi pada suku tahun keempat tahun 2025.

“Bagi memenuhi obligasi sosial KPKT, beberapa projek perumahan swasta terbengkalai menggunakan peruntukan pembangunan pada tahun 2025 dengan kerjasama agensi pelaksana di peringkat negeri akan terus dipergiatkan.

“KPKT juga akan memohon agar peruntukan ini dapat dipertimbangkan lagi bagi projek-projek yang menepati kriteria pada tahun 2026 kelak. Melalui inisiatif Kerajaan MADANI ini, diharapkan agar lebih banyak pembeli teraniaya dapat dibantu’,” katanya.

Tegasnya KPKT melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) akan terus memantau pemulihan projek perumahan dengan lebih terperinci memandangkan ia merupakan inisiatif yang memperoleh kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

“KPKT sedia bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkepentingan serta sentiasa komited untuk menangani masalah projek sakit dan terbengkalai di seluruh negara bagi menjayakan agenda utama KPKT demi kesejahteraan para pembeli rumah yang terjejas,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas