SEBANYAK 687 unit kuarters Kementerian Pendidikan (KPM) berada dalam keadaan tidak berfungsi akibat rosak dan disyor roboh.
Menurut KPM, hal demikian kerana ia tidak ekonomikal untuk dibaiki.
Jelas kementerian itu, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 17,524 unit kuarters yang tidak berpenghuni berdasarkan rekod sehingga Disember 2024.
“KPM mempunyai 47,855 unit kuarters di seluruh negara dan daripadanya, 30,331 unit berpenghuni. Pihak kementerian telah selesai menjalankan kajian mengoptimumkan penggunaan kuarters guru tidak berpenghuni milik KPM di seluruh negara pada 2023,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
KPM menjawab soalan Senator Amir Md Ghazali mengenai cadangan menyerahkan kuarters yang tidak digunakan kepada pihak lain.
Tambah KPM, antara dapatan kajian yang menyumbang kepada bilangan kuarters yang tidak berpenghuni adalah keadaan fizikal kuarters yang tidak kondusif; kos penyelenggaraan yang tinggi; lokasi kuarters yang tidak strategik; kos sewa rumah kediaman di sekitar kuarters lebih rendah; dan kawasan kuarters yang tidak selamat kerana menjadi sasaran pencuri dan vandalisme.
Bagi memelihara kefungsian dan ketersediaan kuarters yang kondusif untuk keselesaan warga guru katanya, KPM mengambil inisiatif melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kuarters tertakluk kepada kelulusan peruntukan tahun semasa.
“Pada tahun lalu, sebanyak RM68.7 juta telah disalurkan untuk menyelenggara kuarters berpenghuni dan tidak berpenghuni yang mendapat permintaan untuk diduduki. Bagi kuarters tidak berpenghuni yang tidak mempunyai permintaan untuk diduduki, KPM giat melaksanakan usaha-usaha untuk mengoptimumkan pengisian kuarters melalui kaedah tukar fungsi dan penyewaan kepada agensi swasta yang berminat.
“Sehingga Disember 2024, daripada 17,524 unit kuarters tidak berpenghuni, sebanyak 98 unit kuarters telah ditukar fungsi manakala sebanyak 480 unit kuarters telah disewakan kepada universiti dan agensi swasta,” katanya.
Jelas KPM, sebagai contoh, sebanyak enam unit kuarters guru tidak berpenghuni di Sekolah Kebangsaan Tok Jiring, Kuala Nerus, Terengganu telah ditukar fungsi kepada bangunan tambahan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Nerus pada Jun 2024.
Katanya, bagi penyewaan kepada pihak ketiga pula, sebanyak 100 unit kuarters Institusi Pendidikan Simpang Empat, Perlis telah disewakan kepada Universiti Malaysia Perlis selama tiga tahun bermula pada 24 Mei 2022 sehingga 23 Mei 2025.
“Bagi merancakkan pengisian kuarters tidak berpenghuni, bermula tahun ini, KPM menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menempatkan anggota dan kakitangan agensi-agensi di bawah KDN yang memerlukan kediaman.
“Kerjasama ini masih pada peringkat awal bagi memperhalusi keperluan sebenar kuarters tidak berpenghuni milik KPM yang boleh dimanfaatkan oleh KDN,” katanya. – WILAYAHKU